Sekutu bekas PM Nawaz Sharif dilantik sebagai menteri kewangan Pakistan


Menteri kewangan baharu Pakistan Ishaq Dar pulang ke Pakistan pada Isnin selepas lima tahun bersuaka di London. – Gambar EPA, 28 September, 2022.

AHLI politik kanan Pakistan Ishaq Dar, seorang penyokong setia bekas perdana menteri Nawaz Sharif, dilantik sebagai menteri kewangan baharu negara itu pada Rabu.

Beliau mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan di hadapan Presiden Arif Alvi di Islamabad pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Shehbaz Sharif.

Dar pulang ke Pakistan dari London pada malam Isnin selepas bersuaka kira-kira lima tahun.

Beliau mengangkat sumpah sebagai ahli dewan tinggi parlimen pada Selasa.

Seorang akauntan bertauliah, Dar menjadi menteri kewangan Pakistan untuk kali keempat.

Pemegang jawatan itu sebelum ini, Miftah Ismail secara rasmi meletak jawatan pada Selasa, selepas berkhidmat selama kira-kira lima bulan.

Dar mengambil alih ketika ekonomi Pakistan bergelut dengan cabaran inflasi yang melambung tinggi, kelemahan mata wang dan keyakinan pelabur yang rendah.

Kerosakan infrastruktur bernilai AS$30 bilion akibat banjir baru-baru ini, telah memburukkan lagi masalah ekonomi Pakistan di tengah-tengah ketidaktentuan politik. – Bernama, 28 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen