Saluran paip gas Baltic kurangkan kebergantungan kepada Russia


Presiden Poland Andrzej Duda (kanan), PM Poland Mateusz Morawiecki (kiri) dan PM Denmark Mette Frederiksen (tengah) merasmikan pembukaan saluran paip gas Baltic di Budno dekat Goleniow, Poland. – Gambar EPA, 28 September 2022.

SALURAN paip gas asli Baltic dilancarkan secara rasmi pada satu majlis di Szczecin, Poland, pada Selasa, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pemimpin Poland, Norway dan Denmark menghadiri majlis pelancaran sistem penghantaran gas, yang diharap menamatkan kebergantungan Poland dan Eropah kepada gas Rusia.

Menteri Petroleum dan Tenaga Norway Terje Aasland berkata ia adalah “langkah penting ke arah menuju kemerdekaan Eropah daripada tenaga Rusia,” menurut kerajaan.

Beliau turut memuji Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki kerana memulakan projek itu beberapa tahun lalu, “sebelum kebanyakan pihak menyedari pentingnya Eropah berdikari daripada segi tenaga.”

Projek itu dimulakan oleh Poland pada 2016 susulan Perang Crimea, sebelum operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine pada Februari tahun ini yang mencetuskan krisis tenaga.

Saluran paip sepanjang kira-kira 900km akan membekalkan gas asli dari Norway melalui Denmark dan Laut Baltik ke Poland.

Dengan kapasiti tahunan sebanyak 10 bilion meter padu gas, saluran paip itu “boleh membawa gas dari pelantar di Norway dan menyumbang kepada pengukuhan keselamatan tenaga di selatan Scandinavia, Poland dan negara lain di rantau ini,” kata Aasland. – Bernama, 28 September 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen