Hishammuddin perlekeh skandal LCS, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan ENg berkata akauntabiliti penuh terhadap skandal RM9 bilion kapal LCS adalah lebih penting daripada Hishammuddin Hussein atau hari kiamatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2022.

PERANG mulut antara Lim Guan Eng dan Hishammuddin Hussein terus berlarutan, kali ini pengerusi DAP itu mendakwa menteri pertahanan memperlekehkan skandal bilion kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Lim mengulas kenyataan Hishammuddin semalam, yang dilapor media berkata sampai kiamat pun Lim tidak akan kata beliau seorang menteri yang berjaya.

Ia susulan Lim minggu lalu meletakkan ahli Parlimen Sembrong itu di kedudukan teratas dalam senarai 10 menteri yang disifatkannya gagal menyelamatkan projek kapal LCS bernilai RM9 bilion.

Antara yang tersenarai ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri PengangkutanWee Ka Siong.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata akauntabiliti penuh terhadap skandal RM9 bilion kapal LCS adalah lebih penting daripada Hishammuddin atau hari kiamat.

“Dengan mengatakan bahawa kritikan saya mengenai salah urus oleh Hishammuddin terhadap skandal LCS menunjukkan bahawa ‘Jika orang tidak endah dekat kita, itu bermakna kita tidak buat kerja’ mengabaikan kemarahan orang ramai bahawa RM6.08 bilion telah dibayar tetapi tidak satu pun kapal LCS yang siap daripada 5 kapal LCS yang dijadualkan siap pada Ogos 2022.

“Orang ramai mahukan jawapan sebenar oleh menteri sebenar apabila keselamatan negara boleh dikompromi dengan aset tentera laut yang tidak siap walaupun sudah membayar RM6.08 bilion,” katanya.

Tambah ahli Parlimen Bagan itu, sehingga kini Hishammuddin masih tidak memberikan penjelasan penuh mengapa pembayaran besar itu diluluskan. 

Beliau dalam pada itu menuntut Hishammuddin menjelaskan bagaimana menteri itu boleh menyaksikan pelancaran kapal LCS pertama yang belum siap pada 2017, lengkap dengan tiang palsu dengan kos RM400,000, yang dibuang sejurus selepas majlis pelancaran. 

“Bolehkah Hishammuddin juga menjelaskan mengapa tidak seorang pun didakwa di mahkamah melibatkan skandal kapal LCS walaupun terdapat banyak siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?” soalnya.

Menurut beliau, jawapan tidak bertanggungjawab Hishammuddin mengenai perkara perolehan pertahanan yang serius akan memberi gambaran negatif yang merendahkan keupayaan pertahanan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Hishammuddin harus bangun daripada tidur dan serius dalam menjalankan tugasnya dengan baik atau jika tidak seluruh dunia akan melihat kegagalannya yang teruk sebagai menteri pertahanan.”  – 28 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen