Ahli politik saran tingkat eksport, agresif promosi pelancongan ketika ringgit lemah


Alfian Z.M. Tahir Mohd Farhan Darwis

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya disaran mengambil peluang supaya lebih giat mempromosikan Malaysia, menarik lebih ramai pelancong asing dan tempatan ketika ringgit lemah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2022.

PUTRAJAYA perlu mengambil langkah untuk meningkatkan pengeluaran domestik dan mengurangkan import terutamanya makanan bagi menggalak perdagangan tempatan, yang seterusnya akan mengukuhkan nilai ringgit, kata ahli politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyelesaikan masalah, malah hanya akan menjerumuskan negara ke dalam krisis kewangan dan ekonomi.

Ahli politik kerajaan dan pembangkang ini berkata, Putrajaya sebaliknya perlu mencari alternatif lain seperti menarik lebih ramai pelabur asing ke dalam negara dan menangguhkan  projek mega yang bergantung kepada pihak luar.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) A. Sivarajan berkata Malaysia perlu melipat gandakan usaha untuk mengeksport lebih banyak produk kerana nilai ringgit yang rendah bagi meningkatkan perdagangan luar negara.

Katanya menambat ringgit kepada dolar AS bukanlah jalan terbaik kerana peningkatan perbelanjaan domestik akan menggalakkan permintaan terhadap produk tempatan sekali gus mengukuhkan ringgit.

“Kemerosotan ringgit kali ini disebabkan dolar AS mengukuh susulan Rizab Persekutuan AS meningkat kadar faedah, mengurangkan jumlah dolar AS dalam edaran dan meninggikan nilainya.

“Di Malaysia, aktiviti perniagaan (pasca pandemik) bertambah baik apabila orang ramai mula melancong dan berbelanja, mungkin tidak seperti sebelum pandemik melanda tetapi pastinya jauh lebih baik berbanding semasa dua tahun sekatan pergerakan.

“Jadi apabila perbelanjaan domestik meningkat, ini akan memacu permintaan terhadap produk tempatan lantas mengukuhkan ringgit,” kata Sivarajan.

Tambahnya, perbelanjaan kerajaan juga akan membantu mengukuhkan nilai ringgit apabila Putrajaya mengumumkan dasar fiskal dalam Bajet 2023.

Lebih banyak perbelanjaan ke atas sektor utama (bukan projek ‘gajah putih’ dan projek membazir) akan merangsang ekonomi domestik, kata Sivarajan.

Beliau yang juga aktivis berkata kata gaji minimum RM1,500 begitu penting supaya rakyat mempunyai lebih wang untuk berbelanja dalam negara.

“Rakyat akan berbelanja lebih, tetapi oleh kerana ringgit lemah kita akan berbelanja di dalam negara. Sebab itulah pelaksanaan gaji minimum begitu penting supaya rakyat ada duit untuk berbelanja.”

Peningkatan perbelanjaan domestik akan menggalakkan permintaan terhadap produk tempatan sekali gus mengukuhkan ringgit, kata ahli politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2022.

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari keempat berturut-turut semalam berikutan pengukuhan ketara unit negara maju itu apabila pelabur terus memburu mata wang selamat dan mengelak faktor yang berisiko.

Pada 6 petang semalam, ringgit susut ke paras 4.6100/6120 berbanding dolar AS daripada 4.6030/6045 pada Isnin.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ringgit sememangnya dijangka susut susulan pengukuhan ketara dolar AS akibat perkembangan berkaitan kenaikan kadar faedah.

Bagi minggu ini, ringgit diunjur diniagakan pada paras 4.580 hingga 4.630 berbanding dolar AS. 

Tarik lebih ramai pelancong asing

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) giat memainkan peranannya mempromosikan Malaysia.

Katanya, kementerian itu harus mengambil peluang ketika ringgit jatuh untuk menarik lebih ramai pelancong asing khususnya dari Timur Tengah berbelanja di negara ini.

“Langkah terbaik mungkin kita kena kurangkan pengaliran keluar wang kita, kurangkan kos dan kebergantungan import; dan kalau ada ganti yang boleh dibuat pihak tempatan secepat mungkin gantikan, mungkin sementara waktu sehingga ada pemulihan ringgit.

“Pelancongan kena buat kerja agresif. Motac kena agresif pada ketika duit jatuh, duit kita murah, tarik pelancong dan rakyat kita melancong di dalam negara. Bila melancong ke luar, duit kita juga keluar, rugi berjuta ringgit,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau dalam pada itu menggesa kerajaan mencari formula bagi membantu tingkatkan ringgit.

“Kerajaan perlu cari satu formula walaupun ada perkara dikorbankan kita kena timbangkan mana yang lebih mendatangkan manfaat.

“Kerajaan ada beberapa pilihan berdasarkan nasihat pakar dari Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan yang boleh dirujuk, malah perdana menteri pun ada penasihat ekonomi,” katanya. – 28 September, 2022.    

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen