Penghormatan terakhir untuk Shinzo Abe


Bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe yang mati dibunuh diberikan upacara pengebumian negara hari ini di Budokan di Tokyo. – Gambar EPA, 27 September, 2022.

ORANG kenamaan Jepun dan luar negara memberi penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe yang mati dibunuh, dalam satu upacara pengebumian hari ini, dengan orang ramai beratur untuk meletakkan bunga dan berdoa.

Abu Abe dibawa balunya Akie, tiba di Budokan di Tokyo, dengan diiringi 19 das meriam sebagai tanda penghormatan kepada bekas pemimpin itu.

Kenderaan membawa abunya bergerak dari rumah keluarganya di ibu kota negara itu, merentasi di hadapan barisan tentera berpakaian uniform putih.

Di luar Budokan, ribuan rakyat Jepun berbaris ketika abu tiba, menunggu untuk memberikan bunga dan berdoa di khemah berkabung.

Toru Sato, 71, antara rakyat yang menunggu berbaris walaupun jalan menggunakan tongkat.

“Saya hanya kenal Abe di televisyen. Beliau bekerja keras. Kematiannya sanga tragik, saya kasihan padanya,” katanya.

Koji Takamori pula datang dari jauh, Hokkaido bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Abe, banyak yang dilakukannya untuk Jepun.

“Kematiannya sangat mengejutkan. Jujurnya, saya juga datang kerana terlalu banyak bantahan. Saya di sini untuk bantah mereka yang membantah pengebumian ini,” katanya.

Pembangkang juga turut hadir, walaupun dalam jumlah kecil, berarak berhampiran khemah sebelum mengadakan demonstrasi di depan Parlimen.

Abe adalah perdana menteri yang paling lama berkhidmat di Jepun dan antara tokoh politik paling terkenal, dikenali sebagai sekutu antarabangsa dan strategi ekonominya, “Abenomics”.

Beliau meletak jawatan pada 2020 berikutan masalah kesihatan, tetapi kekal menjadi suara utama politik dan berkempen untuk partinya iaitu parti pemerintah, ketika seorang lelaki menembaknya pada 8 Julai.

Tetapi keputusan kerajaan untuk mengadakan majlis pengebumian negara untuk Abe – perdana menteri kedua menerima penghormatan itu pasca perang – mencetuskan provokasi dalam kalangan pembangkang, dengan 60% rakyat Jepun membantah upacara itu dalam kaji selidik baru-baru ini. – AFP, 27 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen