Singapura kini Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar PBB EG-LAM


Singapura dilantik sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar PBB mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah (EG-LAM) bagi tempoh tiga tahun mulai Ogos 2022. – Gambar EPA, 27 September, 2022.   

SINGAPURA dilantik sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah (EG-LAM) bagi tempoh tiga tahun mulai Ogos 2022.

EG-LAM adalah kumpulan pakar di bawah Jawatankuasa Pakar PBB mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM).

Kumpulan ini diwakili golongan profesional geospatial dari lebih 28 negara di seluruh Eropah, Amerika Selatan, Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik.

Menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) republik itu mengambil alih tugas berkenaan dari Belanda dan akan mengetuai kumpulan itu bersama Chile selaku Pengerusi Bersama daripada SNIT-IDE (Sistem Maklumat Wilayah Negara).

Pengarah Pemeriksaan & Geomatik di SLA Dr Victor Khoo dilantik mewakili Singapura, menurut agensi geospatial kebangsaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

SLA memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli perniagaan dan ahli akademik untuk memanfaatkan potensi data geospatial bagi membantu mencapai matlamat kemampanan Singapura.

Dr Khoo dan pasukannya akan berkongsi pengalaman Singapura dalam pemetaan tiga dimensi (3D) alam sekitar untuk menghasilkan data geospatial resolusi tinggi dan model bandar 3D dengan bantuan EG-LAM di tiga kawasan iaitu perlindungan pantai, penggunaan panel solar dan inisiatif kelestarian, menurut kenyataan itu. – Bernama, 27 September, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen