Suruhanjaya Eropah harap 'kerjasama membina' dengan kerajaan baharu Itali


Ketua jurucakap institusi Kesatuan Eropah Eric Mamer berkata Suruhanjaya Eropah menantikan 'kerjasama membina' dengan kerajaan baharu Itali. – Gambar AFP, 27 September, 2022.

SURUHANJAYA Eropah menantikan “kerjasama membina” dengan kerajaan baharu Itali, kata ketua jurucakap institusi Kesatuan Eropah (EU) Eric Mamer pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi taklimat harian suruhanjaya itu, lapor Agensi Anadolu.

Bagaimanapun, Mamer enggan mengulas mengenai kempen pilihan raya Itali, di mana gabungan sayap kanan yang memenangi pilihan raya itu telah mengkritik EU dan dasar-dasarnya, termasuk membabitkan hal ehwal luar negeri, belanjawan, migrasi dan kedaulatan undang-undang.

“Suruhanjaya Eropah dan presidennya (Ursula von der Leyen) bekerjasama dengan kerajaan Eropah yang dipilih oleh rakyat. Hal berkenaan tidak akan berubah, termasuk dalam kes ini,” tegasnya.

Mamer menambah bahawa badan eksekutif EU “pada ketika ini menanti Itali untuk mencalonkan kerajaan baharu selaras dengan perlembagaan”.

Pemimpin parti Brothers of Italy (FdI) Giorgia Meloni, dijangka menjadi perdana menteri Itali selepas pakatan sayap kanan melibatkan FdI, parti Lega pimpinan Matteo Salvini dan Forza Italy pimpinan Silvio Berlusconi memenangi lebih 43 peratus undian dalam pilihan raya umum pada Ahad. – Bernama, 27 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen