VENEZUELA dan Colombia semalam membuka semula sempadan mereka kepada kenderaan yang membawa barangan selepas menguatkuasakan penutupan sebahagian selama tujuh tahun termasuk tiga tahun ditutup sepenuhnya kerana perbalahan politik.
Presiden Colombia Gustavo Petro dan wakil kerajaan pemimpin Venezuela Nicolas Maduro menghadiri majlis pembukaan semula sempadan itu.
Trak pertama meninggalkan San Antonio de Tachira di sebelah sempadan Venezuela sejurus selepas tengah hari dan menyeberangi jambatan Simon Bolivar ke Cucuta di Colombia.
“Kami menyambung semula hubungan dan mengambil langkah tegas untuk membuka sempadan sepenuhnya,” kata Maduro menerusi Twitter.
Jiran Amerika Selatan itu memutuskan hubungan diplomatik pada 2019 di bawah presiden konservatif Colombia Ivan Duque.
Tetapi sejak Petro menggantikannya pada Ogos presiden berhaluan kiri pertama Colombia berusaha memperbaiki hubungan dengan kerajaan populis kiri Venezuela.
“Adalah sangat penting bagi kami untuk memajukan hak asasi rakyat. Keluarga dipisahkan, hubungan hormat dan kepercayaan kami terputus,” kata ahli parlimen Colombia Jairo Cristo pada majlis itu.
Pembukaan semula ini adalah langkah pertama ke arah pembentukan semula hubungan komersial antara kedua-dua negara yang bernilai sekitar $7.2 bilion pada 2008.
Kedua-dua negara jiran itu berkongsi sempadan sepanjang 2,200 kilometer dipenuhi kumpulan bersenjata yang menimbulkan rasa tidak selamat dengan memperjuangkan perdagangan haram yang menguntungkan seperti pengedaran dan penyeludupan dadah.
Kedua-dua negara dijangka menyambung semula penerbangan antara ibu kota mereka pada hari Isnin.
Caracas dan Bogota secara rasmi mewujudkan semula hubungan diplomatik pada 29 Ogos dengan menghantar duta ke ibu negara masing-masing.
Venezuela memutuskan hubungan diplomatik pada 2019 selepas Duque menyatakan sokongan terhadap percubaan pemimpin pembangkang Juan Guaido untuk menggulingkan Maduro.
Merentasi sempadan dengan kenderaan yang membawa barangan dihadkan sejak 2015 dan disekat sepenuhnya pada 2019.
Venezuela mengalami krisis ekonomi selama bertahun-tahun yang menyaksikan kemiskinan melonjak dan berjuta-juta orang meninggalkan negara itu, ramai untuk menetap di Colombia. – AFP, 27 September, 2022.
Komen