Pekeliling risiko culik peringatan buat ibu bapa, kata sekolah Kelantan


Alfian Z.M. Tahir

Pekeliling dikeluarkan mengenai risiko penculikan di sekolah di Kelantan dibuat bagi mengingatkan ibu bapa supaya mengambil anak mereka awal dan tepat pada masanya bagi mengelak kejadian tidak diingini, bukannya untuk menakutkan masyarakat, kata kakitangan sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.

PEKELILING yang dikeluarkan kepada ibu bapa mengenai risiko penculikan di Kelantan hanyalah peringatan kepada ibu bapa supaya sentiasa berwaspada, kata kakitangan Sekolah Rendah Hamzah di Machang.

Berdasarkan pekeliling itu, pihak sekolah mengingatkan ibu bapa supaya menjemput anak mereka dari sekolah tepat pada masanya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pekeliling bertarikh 25 September itu tular di media sosial.

Seorang kakitangan sekolah memberitahu The Malaysian Insight pekeliling itu bukan bertujuan untuk menimbulkan ketakutan tetapi sebagai peringatan kepada ibu bapa.

“Surat itu tidak bertujuan untuk takutkan ibu bapa atau orang ramai. Kami mahu beritahu supaya ambil anak mereka dari sekolah pada masa yang tepat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” kata kakitangan itu.

Polis Kelantan dalam pada itu menolak dakwaan kes penculikan membabitkan murid sekolah, berkata apa yang tular di media sosial itu adalah khabar angin semata-mata.

Mengulas kenyataan sebuah sekolah, Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun memberitahu The Malaysian Insight pihak sekolah hanya cuba mengingatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada.

“Dakwaan penculikan melibatkan pelajar di Kelantan adalah tidak benar. Tidak berasas.

“Pihak sekolah di Machang cuba mengingatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati,” kata Muhamad Zaki.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai isu tersebut.

Muhamad Zaki berkata tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

Pekeliling itu tular selepas dilaporkan polis Gua Musang di Kelantan sedang menyiasat dakwaan cubaan menculik melibatkan dua pelajar di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, pada 19 dan 20 September.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata selepas mesej suara berhubung kejadian itu tular di WhatsApp, pihak sekolah telah berjumpa dengan pelajar terbabit.

“Kejadian pertama pada Isnin kira-kira jam 5 petang melibatkan murid Tahun 4 yang mendakwa dua lelaki tidak dikenali menaiki Perodua Kancil berwarna putih telah memanggilnya di jalan menuju ke Gua Musang, tetapi pelajar itu tidak mengendahkan mereka.

“Kejadian kedua pada Selasa kira-kira jam 5 petang melibatkan pelajar Tahun 1 yang mendakwa dua lelaki tidak dikenali menaiki Perodua Myvi berwarna kelabu telah memanggilnya. Pelajar itu juga tidak mengendahkan panggilan itu,” katanya dalam satu kenyataan minggu lalu.

Sik berkata berikutan kejadian itu, pihak sekolah telah meminta polis membuat rondaan ketika pelajar pulang ke rumah selepas sesi pagi pada 12.45 tengah hari, serta selepas kelas agama dan fardu ain pada 4.45 petang. – 27 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen