Ribuan berarak tuntut keadilan 43 pelajar Mexico hilang


Ibu bapa dan rakan sekelas kepada 43 pelajar Mexico yang hilang mengadakan protes di tengah-tengah Mexico City di mana mereka meminta keadilan untuk kes itu selepas lapan tahun masih tiada jawapan. – Gambar EPA, 27 September, 2022.

BERIBU-RIBU rakyat Mexico berarak pada Isnin menuntut keadilan pada ulang tahun kelapan kehilangan 43 pelajar, selepas penyiasat melabelkan kekejaman itu sebagai “jenayah negara” yang melibatkan tentera dan institusi lain.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menggesa penunjuk perasaan berhimpun secara aman bagi mengenang mangsa tragedi yang menggemparkan negara dan mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Saudara-mara, pelajar dan penunjuk perasaan lain membuat protes di tengah-tengah Mexico City sambil melaungkan slogan seperti “Mereka diambil hidup-hidup, kami mahu mereka hidup-hidup!”

Ada yang membawa papan tanda bertulis: “Ia kerja tentera.”

“Kami tuntut agar tentera disiasat, supaya mereka dihukum,” kata Blanca Nava, ibu kepada salah seorang pelajar.

Rayuan Lopez Obrador dibuat selepas beberapa anggota pasukan keselamatan cedera pada Jumaat dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan yang membaling batu dan bahan letupan buatan sendiri di pangkalan tentera Mexico.

“Satu-satunya perkara ialah mengelak keganasan,” kata Lopez Obrador kepada pemberita, mengisytiharkan Isnin sebagai hari berkabung negara.

“Ia bukan tentang membaling batu atau koktel Molotov. Ini mengenai bantahan secara aman,” katanya.

Perarakan pada Isnin itu kelihatan aman, dengan hanya beberapa kali berlaku pertelingkahan antara penunjuk perasaan dan polis. – AFP, 27 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen