Putin beri Edward Snowden kerakyatan Rusia


Presiden Rusia Vladimir Putin telah memberikan bekas kontraktor perisikan AS Edward Snowden kerakyatan Rusia pada Isnin. – Gambar EPA, 27 September, 2022.

PRESIDEN Vladimir Putin pada Isnin memberikan taraf kerakyatan Rusia kepada pemberi maklumat Amerika Syarikat (AS) Edward Snowden, yang mendedahkan pengawasan besar-besaran oleh Agensi Keselamatan Negara AS ke atas rakyat Amerika sebelum mencari perlindungan di Rusia.

Dekri presiden yang diterbitkan pada Isnin memasukkan Snowden dalam senarai warga Rusia yang baharu, ketika hubungan antara Washington dan Moscow renggang berhubung konflik di Ukraine.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberitahu agensi berita Snowden telah menerima kewarganegaraan Rusia hasil permintaannya sendiri yang dibuat pada 2020 untuk memudahkan isterinya dari Amerika, Lindsay Mills untuk berulang-alik.

“Selepas bertahun-tahun berpisah dengan ibu bapa, saya dan isteri saya tidak mempunyai keinginan untuk berpisah dengan anak-anak kami,” tulis Snowden di Twitter.

“Selepas dua tahun menunggu dan hampir sepuluh tahun dalam buangan, sedikit kestabilan akan membawa perubahan kepada keluarga saya,” katanya.

Bekas kontraktor perisikan Amerika berusia 39 tahun itu membocorkan dokumen rahsia kepada media pada 2013 mendedahkan NSA sedang mengumpul sejumlah besar metadata komunikasi dan maklumat lain mengenai warga AS.

Pendedahan program pengintipan rahsia NSA membawa kepada undang-undang dan peraturan yang melarang aktiviti itu.

Selepas mendedahkan rahsia itu, Snowden mencari perlindungan di Rusia. Beliau berkahwin dengan teman wanita lama Mills di Moscow pada 2017.

Tiga tahun kemudian mereka mendapat seorang anak lelaki. Snowden berkata beliau akan mendapatkan kerakyatan Rusia bagi memudahkan keluarganya bersama, terutamanya berikutan sekatan perjalanan pandemik Covid-19.

Tetapi katanya beliau mahu mengekalkan kewarganegaraan AS.

“Saya dan Lindsay akan kekal sebagai rakyat Amerika, membesarkan anak kami dengan semua nilai Amerika yang kami cintai – termasuk kebebasan untuk menyuarakan fikiran. Saya menantikan hari saya boleh kembali ke Amerika, supaya seluruh keluarga dapat bersatu semula,” katanya ketika itu.

Pasangan itu mempunyai anak kedua pada awal tahun ini.

Peguam Snowden, Anatoly Kucherena memberitahu agensi berita negara Rusia RIA Novosti yang Mills juga kini akan memohon kerakyatan Rusia. – AFP, 27 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen