PAS tidak boleh main dua kolam, kata Khairuddin


Diyana Ibrahim

Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Umno dan PAS akan rugi besar sekiranya tidak mempertahankan kerjasama mereka dalam MN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.

PAS perlu tetapkan pendirian jelas sama ada mahu bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), dan tidak terus bermain dua kolam, kata bekas ahli jawatankuasa pusatnya Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sikap PAS yang bermain dua kolam menyebabkan parti Islam itu kini dalam dilema besar, kata ahli Parlimen Kuala Nerus, yang keluar parti pada Mac lepas.

“PAS dalam dilema, mereka sayangkan Umno, MN, tapi mereka mahu bawa Bersatu bersama.

“Bersatu pula bertembung dengan Umno. Jadi, macam mana PAS nak main dua kolam?

“Idea dua kolam ini bukan idea tak bagus… bagus sebenarnya, tapi bagaimana kita nak uruskan dua kolam ini. Jadi, itulah ujian besar terhadap PAS.

“Saya  harap mereka bijak untuk menyusun, satukan semua parti kerana sampai masa PAS kena buat keputusan,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Khairuddin ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang menegaskan BN kekal musuh gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata setiap komponen PN harus bertindak selari dengan ketetapan itu.

Kenyataan Muhyiddin menyusul beberapa hari selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan pendirian parti Islam itu menganggap Umno kekal rakan kerjasamanya dalam politik.

Takiyuddin juga menegaskan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Umno dan PAS sebelum itu dilaporkan berusaha untuk menghidupkan semula MN yang tergendala tidak sampai tiga tahun dua parti Melayu yang berseteru sejak puluhan tahun memeterai kerjasama rasmi politik.

Khairuddin meminta PAS membuat kata putus hala tuju politiknya ketika presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang dilapor bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu.

Muhyiddin kelmarin berkata pihaknya akan meminta penjelasan Hadi mengenai pertemuan itu, yang dikatakan bertujuan untuk menghidupkan semula MN.

Khairuddin yang diketahui condong kepada kerjasama MN berkata jika PAS akhirnya terpaksa memilih PN, parti Islam itu diharap tidak memutuskan langsung hubungannya dengan Umno.

Katanya, PAS boleh sepakat tidak bertembung dengan Umno di beberapa kerusi pada pilihan raya umum akan datang, sekiranya pertembungan itu boleh menguntungkan PH.

Di luar Muktamar Tahunan PAS di Kedah awal bulan ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dan Umno mesti bersama untuk memastikan 27 kerusi Parlimen tidak dimenangi oleh PH, sekiranya dua parti Melayu itu bertembung pada PRU15.

“Kerusi ini yang jadi jambatan. Kalau tak boleh 29 kerusi buatlah 25 atau 20 pun boleh. Buat 10, lima, tiga atau satu kerusi pun tak apa asal ada rundingan dan jadi jambatan jangka masa panjang. Ini sudah cukup,” katanya.

Jambatan itu maksudnya, kata Khairuddin, kerjasama yang dapat dirintis kedua pihak dalam satu kerajaan selepas PRU15.

“Sebab itu jangan tengok muafakat pada satu hala saja,” katanya.

Umno dan PAS dilaporkan berusaha untuk menghidupkan semula MN yang tergendala tidak sampai tiga tahun memeterai kerjasama rasmi politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.

Khairuddin juga berkata Umno dan PAS akan rugi besar sekiranya tidak mempertahankan kerjasama mereka dalam MN.

“Kalau ikut kajian kita berdasarkan PRU14, percantuman antara PAS dan Umno akan dapat majoriti mudah dan boleh capai majoriti dua pertiga.

“Data PRN Melaka dan Johor juga menunjukkan keadaan sama, sebab itu saya katakan penting PAS dan Umno duduk bersama,” katanya.

Ditanya pandangan dalam Umno yang tidak mahu kerjasama dengan PAS, Khairuddin berkata ia hanya pandangan sesetengah pemimpin dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

Beliau mengingatkan keputusan akhir terletak pada parti, dan pemimpin Umno dan PAS perlu berani serta tidak takut untuk memuktamadkan kerjasama itu.

“Biar mereka beri pandangan tapi akhirnya keputusan itu pada parti.

“Kalau PAS dari sudut dasarnya, majlis syura luluskan. Ahli jawatankuasa pusat buat pertimbangan baru pergi ke syura. Kalau Umno, Majlis Kerja Tertinggi.

“Jadi biar parti uruskan. Pandangan luar ini pandangan tidak rasmi. Tapi kalau pandangan itu pandangan parti, (keputusan) partilah… kerana itu parti kena berani buat keputusan.

“Pemimpin kena berani buat keputusan, kalau takut buat keputusan, malu alah dengan orang habislah rakyat, ahli kita… kasihan pada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata beliau tidak akan berhenti memperjuang dan menyatukan kerjasama antara parti Melayu terutama dengan Umno kerana ia juga suara akar umbi.

Khairuddin berkata sejak Umno dan PAS merintis kerjasama MN, permusuhan lama antara ahli kedua-dua parti sudah mula dapat dikendurkan terutama di kampung-kampung.

“Sentimen ahli PAS di bawah bersama MN kerana itulah yang mereka rasai di kampung-kampung.

“Suasana itu sudah comel dan cantik, benda (permusuhan) makin surut.

“Ini yang saya nak pulangkan balik. Nikmat itu besar. Ini perjuangan saya,” katanya, yang tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti mungkin kembali menyertai PAS. – 27 September, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen