Najib tidak dapat layanan istimewa, kata Shafee


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak dibawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan nilai RM2.28 bilion. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 September, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara, tidak menerima sebarang layanan istimewa di hospital, mahkamah atau penjara, kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau menolak dakwaan yang Najib diberikan layanan istimewa sepanjang menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya iaitu 12 tahun di Penjara Kajang.

“Tidak, beliau tidak diberikan layanan istimewa. Mereka tidak beri beliau bilik di sini (Mahkamah Tinggi) untuk duduk dan makan.

“Beliau juga hanya dapat bilik biasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bilik saya di IJN (Institut Jantung Negara) lebih baik lagi.

“Mengarut, betul-betul mengarut,” katanya kepada media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika perbicaraan kes rasuah 1MDB RM2.28 bilion membabitkan Najib berhenti rehat hari ini.

Shafee mengulas berkenaan dakwaan yang Najib menerima layanan istimewa.

Media sosial kecoh minggu lalu apabila ada yang mendakwa Najib diberikan keutamaan dalam menerima rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras.

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan Najib dihantar ke Cheras.

Kenyataan itu dikeluarkan tiga hari selepas dakwaan itu tular di media sosial mengatakan Najib atau rujukan kod Merpati, menerima layanan istimewa di penjara.

Beliau dipindahkan dari HKL ke Pusat Rehabilitasi Cheras kerana fasiliti di situ lebih baik. 

Ketika ditanya tentang kod nama Merpati kononnya merujuk kepada Najib, Shafee menolaknya.

Berkenaan dihantar ke Cheras, Shafee berkata Najib perlu menjalani rawatan fisioterapi.

“Keadaan beliau sekarang memerlukan beliau menjalani fisioterapi. Beliau ada masalah lutut dan pernah menjalani pembedahan ketika menjadi perdana menteri.

“Itu sebabnya Najib disyorkan menerima rawatan di HRC kerana rawatan diterima di HKL tidak memadai.”

Beliau dimasukkan ke HKL minggu lalu dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.

“Jadi apa yang istimewanya saya tidak faham. Mungkin berhubung makanannya kerana tidak boleh makan pedas dan berminyak disebabkan oleh ulser perut yang dihadapi, secara umum mereka memantau pemakanannya,” katanya. – 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen