Pemimpin sayap kanan Giorgia Meloni dahului pilihan raya Itali


Giorgia Meloni bakal menjadi perdana menteri wanita pertama Itali dan pemimpin sayap kanan pertama menerajui negara itu sejak Perang Dunia II. – Gambar EPA, 26 September, 2022.

KEPUTUSAN awal pilihan raya umum Itali menyaksikan pemimpin sayap kanan Itali Giorgia Meloni mendahului dengan memperoleh 26.39 peratus undi, lapor Agensi Anadolu.

Dalam ucapan sulungnya selepas pengundian, Meloni berkata rakyat Itali telah menghantar isyarat  yang sangat jelas bahawa mereka mahukan Brothers of Italy (Fdl).

“Di saat anda mahu menjadi sebahagian daripada sejarah, anda perlu memahami tanggungjawab terhadap berjuta-juta orang, Itali telah memilih kami dan kami tidak akan mengkhianatinya,” katanya.

FdI dijangka memenangi pilihan raya selepas mendahului dengan 26.39 peratus, memetik keputusan awal dikeluarkan Agensi Berita Itali (ANSA).

Dalam pilihan raya 2018, Meloni sekadar memperoleh empat peratus undi .

Meloni bakal menjadi perdana menteri wanita pertama Itali dan pemimpin sayap kanan pertama menerajui negara itu sejak Perang Dunia II.

Pilihan raya awal diadakan selepas Presiden Sergio Mattarella membubarkan Parlimen pada Julai dan meminta agar pilihan raya diadakan pada 25 September, sekali gus menandakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mario Draghi hanya mampu bertahan setahun setengah.

Hampir 51 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya itu, manakala lebih empat juta rakyat Itali yang tinggal di luar negara tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab mereka.

Dengan kadar populasi 59 juta, 51 peratus rakyatnya terdiri golongan wanita.

Buat kali pertama dalam sejarah Itali, pilihan raya kali ini menyaksikan pengundi berusia 18 tahun ke atas berpeluang mengundi. – Bernama, 26 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen