PM Sepanyol positif Covid-19 selepas balik dari New York


Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez turut berucap di Perhimpunan Agung PBB pada Khamis di New York. – Gambar AFP, 26 September, 2022.

PERDANA Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Ahad disahkan positif Covid-19 selepas kembali dari New York.

Menerusi akaun Twitternya, Sanchez berkata beliau terpaksa membatalkan dua program yang sepatutnya dihadirinya dan akan bekerja seperti biasa dengan mengambil langkah berjaga-jaga.

Sanchez kembali ke Sepanyol pada Jumaat selepas berada di New York selama seminggu, lapor Agensi Anadolu.

Beliau turut berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Khamis di New York.

Pada Rabu, beliau bertemu dengan Bill Gates dan Melinda Gates serta menganjurkan majlis yang dihadiri pemimpin-pemimpin global, termasuk perdana menteri Barbados dan presiden Chile.

Sanchez turut menghadiri majlis makan malam dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan isterinya Jill Biden di American Museum of Natural History.

Turut hadir pada majlis makan malam itu, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan isterinya Emine Erdogan. – Bernama, 26 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen