Pulau Pinang tak tahu tentang RM22 juta sogokan untuk tutup siasatan SPRM


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengatakan kerajaan negeri sedang menunggu penjelasan pemaju, Consortium Zenith Sdn Bhd. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 28 Februari, 2018.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mendakwa tidak tahu menahu tentang wang mencecah puluhan juta ringgit yang di bayar supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan berhubung projek terowong dasar laut dan lebuh raya di negeri itu.

SPRM mula menyiasat projek itu pada 2016 sebelum melancarkan sebuah lagi siasatan mengenainya awal bulan ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengatakan exco kerajaan negeri terkejut mendengar berita ada bayaran dibuat untuk menutup siasatan projek itu.

“Kami terkejut baca tentang RM22 juta dibayar kepada dua orang- RM19 juta kepada seorang ahli perniagaan dan RM3 juta kepada seseorang yang kami kenal tapi bukan kawan kami, Ahli Parlimen Baling BN Abdul Azeez Rahim.

“Kami tak tahu tentang ini. Kami meminta Zenith untuk jelaskan. Kami akan tunggu penjelasannya,” katanya merujuk kepada Consortium Zenith Constructions Sdn Bhd yang menang tender terbuka melaksanakan projek RM6.3 juta itu pada 2013.

Tengahari semalam di Putrajaya, SPRM menahan seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun disyaki menerima suapan RM19 juta bagi menutup siasatan SPRM. Lelaki itu kini direman enam hari untuk membantu siasatan.

Isnin lalu, Malaysiakini memetik sumber mengatakan lelaki itu dan Azeez kedua-duanya diberikan surat tuntutan kerana didakwa gagal menjalankan tugas mereka seperti dijanjikan kepada Zenith berdasarkan perjanjian pada Julai 2013.

Azeez dilaporkan menafikan mengadakan perjanjian dengan Zenith.

Ketika dihubungi, Pengerusi Zenith Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengatakan beliau tidak mengetahui tentang penangkapan dan bayaran itu kerana sedang bercuti sabatikal.

Lim yang bercakap pada sidang media di Komtar hari ini mempersoalkan sama ada SPRM merancang menahan Azeez yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno.

“Mengapa dia tidak ditahan? Mengapa pilih kasih lagi?” katanya.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki mengenai isu ini tetapi masih belum menerima balasan. – 28 Februari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Tengahari semalam di Putrajaya, SPRM menahan seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun disyaki menerima suapan RM19 juta bagi menutup siasatan SPRM. Lelaki itu kini direman enam hari untuk mem"

    Yang menerima sahaja ditahan bagaimana pula yang memberi..apakah ada siasatan terpilih
    dalam isu ini..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan