DAP pinda perlembagaan bagi pastikan wakil yang tentang parti hilang keahlian


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata permohonan akan dihantar kepada RoS untuk mengemas kini perlembagaan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

USUL yang akan memastikan wakil rakyat yang ingkar arahan parti kehilangan keahlian mereka secara automatik diluluskan oleh perwakilan DAP, kata Anthony Loke.

Setiausaha agung parti itu menegaskan permohonan akan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mengemas kini perlembagaan parti dan memasukkan peraturan baharu itu.

“Kami berharap RoS dapat meluluskan permohonan itu segera dan membenarkan kami melaksanakan pindaan itu sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.

Parti itu memperkenalkan peraturan baharu itu pada kongres khas hari ini yang akan mengharamkan lompat parti.

Loke memberitahu perwakilan ia selaras dengan pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan dan berharap semua ahli DAP akan menyokong inisiatif itu.

Menurut Loke, pindaan itu untuk melindungi parti daripada “lompong” dalam undang-undang antilompat yang mana ahli Parlimen yang dipecat oleh parti mereka tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Beliau melahirkan keyakinan penuh Yang di-Pertuan Agong akan memberikan perkenan diraja kepada rang undang-undang antilompat yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai walaupun kelewatan mewartakan rang undang-undang itu.

Tegasnya, Pakatan Harapan percaya menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak akan memungkiri janji undang-undang antilompat akan diwartakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai hasrat Muda untuk menyertai PH, Loke mendedahkan mesyuarat akan berlangsung minggu depan untuk membincangkan permohonan parti itu menyertai gabungan itu.

Muda menyatakan awal bulan ini mengenai hasrat mereka menyertai PH. – 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen