KERAJAAN akan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara dalam Bajet 2023 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, sebelum ini tumpuan diberikan kepada sektor kesihatan dan apabila hampir selesai Covid-19 tumpuan menjurus kepada pemulihan ekonomi negara.
“Tugas utama perdana menteri dan seluruh Kabinet adalah memastikan inflasi terkawal, peluang pekerjaan terus diwujudkan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat terus dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM sekolah dalam kawasan Parlimen Jeli di Bukit Nangka, Jeli hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli berkata, belanjawan adalah rancangan ekonomi jangka pendek yang memerlukan transformasi.
“Kita harus perkenalkan langkah pembaharuan, jika kita terus dengan langkah lama kita tidak akan berjaya.
“Ia (ekonomi) menjadi tumpuan utama kita, apa yang kurang kita akan perbaiki, kita memberi jaminan kerajaan akan memberikan tumpuan kepada isu mengukuhkan ekonomi supaya rakyat dapat hidup selesa.”
Katanya, kerajaan juga mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua termasuk golongan muda.
“Apa yang penting, kita mahu memastikan ekonomi kita akan tumbuh seperti ditetapkan iaitu 5.6% hingga 6.4%,” katanya. – Bernama, 25 September, 2022.
Komen