Polis Sri Lanka serbu protes rakyat


Polis Sri Lanka terpaksa menyuraikan ratusan penunjuk perasaan semalam, sehari selepas kerajaan menguatkuasakan langkah mengekang hak berprotes. – Gambar EPA, 25 September, 2022.

POLIS Sri Lanka terpaksa menyuraikan ratusan penunjuk perasaan semalam, sehari selepas langkah mengekang hak berprotes dikuatkuasakan sebagai tindak balas kepada pergolakan berbulan-bulan yang tercetus akibat kemelesetan ekonomi.

Presiden Ranil Wickremesinghe mengenakan tindakan keras terhadap aktivis yang sebelum ini memaksa bekas presiden yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa meninggalkan negara dan meletak jawatan pada Julai lalu.

Polis dan tentera lengkap dengan peralatan antirusuhan menyekat perarakan pelajar beberapa jam selepas kerajaan mengisytiharkan pusat bandar sebagai zon keselamatan tinggi dan melarang bantahan diadakan di sekitarnya.

Polis turut melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menuntut pembebasan rakan aktivis ditahan di bawah undang-undang anti keganasan yang zalim.

Saksi turut melihat polis menahan puluhan peserta tunjuk perasaan.

Khamis lalu, Wickremesinghe mengarahkan pengharaman semua demonstrasi dan protes berhampiran kawasan pusat pentadbiran termasuk pejabatnya dan rumah pegawai tinggi tentera.

Persatuan peguam berpengaruh Sri Lanka mengecam larangan itu dan berkata ia menjejaskan kebebasan bersuara dan hak berhimpun.

Sri Lanka mengalami kekurangan makanan dan bahan api yang teruk selama berbulan-bulan, dihimpit inflasi yang berterusan selepas kehabisan mata wang asing untuk membiayai import penting tahun ini.

Kemuncak pergolakan menyebabkan ribuan orang menyerbu kediaman Rajapaksa dan memaksanya meninggalkan negara itu. – AFP, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen