RATUSAN rakyat Iran mengadakan protes di Paris dan beberapa bandar di Eropah semalam bagi mengutuk tindakan Iran melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan susulan kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis moral.
Penunjuk perasaan berhimpun di Place du Chatelet di Perancis dan melaungkan slogan membantah pemimpin Ayatollah Ali Khamenei dan menggesa Presiden Perancis Emmanuel Macron menghentikan rundingan dengan Iran.
“Khamenei keluar dari Iran!, Macron jangan berdiam lagi! Antara slogan dilaungkan pada tunjuk perasaan itu.”
Penunjuk perasaan juga menyanyikan lagu protes Itali “Bella Ciao (Goodbye Beautiful)” dalam bahasa Parsi, yang kini popular dalam kalangan penyokong protes itu.
Mereka juga melaungkan “zan, zendegi, azadi!” iaitu bahasa Parsi yang bermaksud wanita, kehidupan, kebebasan. Antara slogan lain ialah dalam bahasa Kurdish “jin, jiyan, azadi!” dengan maksud yang sama, kerana Amini juga dikenali sebagai Jhina Amini, adalah wanita Kurdish.
Dalam protes di Athens, seorang wanita Iran memotong rambutnya sebagai tanda solidariti dengan Amini.
Penunjuk perasaan di Stockholm turut memotong rambut mereka sementara satu lagi kumpulan berdiri di luar Parlimen Sweeden dan memegang gambar penunjuk perasaan yang terkorban di Iran. – AFP, 25 September, 2022.
Komen