Lebih 700 orang ditahan bantah arahan kerahan tenaga Putin


726 orang ditahan di 32 buah bandar seluruh Rusia, dengan hampir separuh daripada jumlah itu di Moscow, pada protes susulan arahan separuh kerahan tenaga bagi merangsang operasi Rusia di Ukraine. – Gambar AFP, 25 September, 2022.

PIHAK berkuasa Rusia pada Sabtu menahan lebih 700 orang dalam protes membantah kerahan tenaga separuh diarahkan Presiden Vladimir Putin minggu ini, menurut kumpulan pemantau bebas.

Menurut kiraan kumpulan pemantau polis OVD-Info, sekurang-kurangnya 726 orang ditahan di 32 buah bandar seluruh Rusia, dengan hampir separuh daripada jumlah itu di Moscow, pada protes susulan arahan separuh kerahan tenaga bagi merangsang operasi Rusia di Ukraine.

Ramai polis dikesan mengawal di Chistye Prudy, di Moscow, menurut seorang wartawan AFP.

Kebanyakan penunjuk perasaan hanya berjalan atau berdiam diri secara berseorangan atau kumpulan kecil bagi mengelak dikesan dan ditahan polis.

AFP melihat polis menahan sekitar 20 orang.

“Kami bukan askar upahan!” jerit seorang wanita ketika ditahan polis.

Di bandar kedua terbesar Rusia, Saint Petersburg, AFP melihat sebuah van polis dengan hampir 30 orang tahanan.

Penunjuk perasaan di Saint Petersburg juga cuba bersembunyi melakukan protes apabila polis terus menahan sesiapa sahaja yang disyaki.

Selepas Putin mengumumkan arahan separuh kerahan tenaga pada Rabu, pihak berkuasa Rusia menahan lebih 1,300 orang.

AFP yang menemui sebilangan daripada mereka yang berkata polis memberikan notis kerahan tenaga ketika mereka ditahan.

Kremlin mempertahankan prosedur itu pada Khamis, berkata “ia tidak bertentangan dengan undang-undang”.

Pihak berkuasa Rusia dalam usaha mengurangkan kritikan terhadap operasi ketenteraan di Ukraine, dengan menahan ribuan pembantah sejak konflik bermula pada Februari lalu.

Dalam protes di Saint Petersburg pada Sabtu, pegawai polis berkata protes itu “melanggar peraturan Covid”.

Tetapi pada Jumaat, ratusan orang berhimpun tanpa ditahan di Moscow dan Saint Petersburg, sebagai sokongan kepada operasi ketenteraan dilakukan Rusia di Ukraine. – AFP, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen