SEBANYAK 17 mayat ditemui semalam selepas bot yang membawa pendatang haram dari Lubnan karam di pantai Syria menjadikan jumlah keseluruhan kepada 94 setakat ini, menurut televisyen kerajaan Syria.
Jumlah korban meningkat sejak mayat pertama ditemui pada Khamis dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi menyifatkan insiden itu sebagai tragedi menyayat hati dan pencarian mereka yang masih hilang tetap diteruskan selepas waktu malam.
Sekurang-kurangnya 14 mangsa yang terselamat dirawat di hospital di Syria, manakala enam lagi dibenarkan keluar.
Dua mangsa masih dalam di unit rawatan rapi di Hospital Al-Basel, lapor agensi berita rasmi SANA Syria.
“Jumlah kematian akibat kejadian bot karam di luar pantai Tartus meningkat kepada 94 orang,” kata televisyen kerajaan.
Tentera Lubnan berkata mereka menahan seorang warga Lubnan yang mengakui bertanggungjawab melakukan penyeludupan warganya baru-baru ini dari Lubnan ke Itali melalui laluan laut.
Lubnan, sebuah negara yang menampung lebih sejuta pelarian daripada perang saudara Syria, terperangkap dalam krisis kewangan yang direkodkan Bank Dunia sebagai salah satu yang paling teruk pada zaman moden.
Seramai 150 orang dilaporkan berada di atas bot kecil yang karam di pelabuhan Syria Tartus, kira-kira 50km di utara Tripoli di Lubnan.
Penumpang kebanyakannya warga Lubnan, Syria dan Palestin dan termasuk kanak-kanak dan warga emas, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP, 25 September, 2022.
Komen