KOREA Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke Laut Timur, kata tentera Korea Selatan, beberapa hari selepas kapal pengangkut Amerika Syarikat (AS) berkuasa nuklear tiba sebelum latihan bersama.
“Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik,” kata Ketua Turus Bersama Seoul hari ini tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Pelancaran itu sebahagian daripada rekod ujian senjata Korea Utara, juga dibuat selepas laporan menunjukkan Pyongyang mungkin sedang bersedia untuk menembak peluru berpandu balistik yang dilancarkan kapal selam.
Pegawai pantai Jepun juga mengesahkan kemungkinan peluru berpandu balistik dilancarkan, memetik maklumat daripada Kementerian Pertahanan Tokyo dan memberi amaran kepada kapal supaya berhati-hati.
“Kapal sila berhati-hati dan jika anda ternampak sebarang objek asing, jangan dekati tetapi maklumkan kepada pengawal pantai,” kata pengawal pantai.
Stesen televisyen Jepun, NHK berkata objek itu kelihatan jauh di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.
Jumaat lalu, kapal USS Ronald Reagan berkuasa nuklear dan beberapa kapal lain berlabuh di Busan, sebahagian daripada usaha Seoul dan Washington untuk mempunyai lebih banyak aset strategik AS yang beroperasi di rantau itu.
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol berkata pihaknya akan meningkatkan latihan ketenteraan bersama AS selepas bertahun-tahun gagal diplomasi dengan Korea Utara.
Washington adalah sekutu keselamatan utama Seoul dan menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan untuk melindunginya daripada Korea Utara. – AFP, 25 September, 2022.
Komen