Ismail Sabri suri teladan julang bahasa kebangsaan, kata pakar


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap menggunakan bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung PBB ke-77 di New York pada Jumaat. – Gambar AFP, 24 September, 2022.

UCAPAN penuh Ismail Sabri Yaakob dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mampu membuka mata pemimpin dan seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama ‘berani’ mengantarabangsakan bahasa kebangsaan.

Menyifatkan perdana menteri suri teladan yang baik kepada rakyat, pensyarah linguistik Raja Rajeswari Seetha Raman berkata, Ismail Sabri semalam meletakkan penanda aras tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus mempromosi identiti Malaysia di pentas dunia.

“Kita boleh katakan perdana menteri ‘cakap serupa bikin’ dalam apa yang beliau katakan sebelum ini. Apabila beliau sendiri mengamalkan apa yang diusahakan, ia akan memberi keyakinan yang tinggi kepada rakyat untuk melakukan perkara sama di pentas dunia yang lain.

“Hal ini juga satu kebanggaan kerana tidak pernah perdana menteri sebelum ini ‘berani’ menggunakan bahasa kebangsaan di persidangan antarabangsa jadi Ismail Sabri memang sudah mencipta satu sejarah penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Semalam, perdana menteri mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia pertama berucap menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar di New York, Amerika Syarikat.

Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam lengkap bersongkok mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Teo Kok Seong pula menyifatkan penggunaan bahasa kebangsaan di pentas dunia itu membuka kebolehpasaran bahasa Melayu di peringkat global.

Penonjolan bahasa kebangsaan di pentas dunia itu katanya, membuka peluang warga asing untuk mendekati Malaysia dan mengetahui lebih mendalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa yang terdapat di negara bertuah ini.

“Apabila bahasa Melayu digunakan, diperdengarkan pada dunia, pastinya secara tidak langsung lahir minat individu asing untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bumi Malaysia dan lebih penting lagi ia menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia sendiri untuk menghargai bahasa kebangsaan.

“Kita perlu ambil peristiwa ini sebagai satu langkah untuk rakyat menerima dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan sepenuh hati. Untuk bahasa Melayu diterima di luar negara, kita seharusnya memantapkan penggunaanya di dalam negara juga,” katanya.

Langkah perdana menteri mengenakan baju Melayu turut dipuji pensyarah kanan teknologi media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) Azahar Kasim yang menyifatkan langkah itu sebagai usaha memperkenalkan budaya Malaysia.

Kebanggaan Ismail Sabri mempamerkan busana tradisional itu di pentas dunia melambangkan sikap beliau yang menghormati budaya tempatan dan menzahirkan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

“Pemakaian lounge suit dan tali leher merupakan budaya barat yang dicedok dan dalam urusan antarabangsa menetapkan kod pemakaian seperti itu sehingga ia menjadi lumrah.

“Apabila Perdana Menteri memakai busana baju Melayu dan berucap dalam bahasa Melayu, ia satu penegasan kepada komuniti dunia mengenai jati diri dan identiti masyarakat Malaysia,” katanya. – Bernama, 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen