Orang marah Umno jika PRU musim tengkujuh, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Penganalisis politik berpendapat, mengadakan pilihan raya umum ketika musim banjir mungkin mencetus kemarahan orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

DESAKAN Umno supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh pada bulan November akan menimbulkan kemarahan orang ramai dan mungkin menjejaskan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik.

Mereka berkata walaupun Umno mahu meneruskan momentum kemenangannya di Johor dan Melaka, mengadakan pilihan raya ketika orang ramai menderita bukanlah satu langkah baik.

Jika Umno memilih untuk meneruskan pilihan raya semasa musim tengkujuh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti bertindak dan memastikan orang ramai yang tinggal di kawasan dinaiki air dapat keluar mengundi.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Umno berisiko menyebabkan kemarahan orang ramai.

“Apabila mereka marah, mereka mungkin keluar beramai-ramai untuk mengundi menentang kerajaan, seperti yang mereka lakukan pada PRU14,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

“Apabila mereka mengadakan PRU14 pada pertengahan minggu, orang ramai masih pulang untuk mengundi.”

PRU 2018 diadakan pada hari Rabu. Walaupun hari bekerja, rakyat Malaysia keluar mengundi, mencipta sejarah apabila mereka menyingkirkan BN selepas 60 tahun memerintah.

Hisommudin Bakar, pengarah eksekutif Ilham Centre juga bersetuju pilihan raya pada musim tengkujuh akan menjejaskan kejayaan Umno.

“Umno bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang rendah, sama seperti di Johor dan Melaka bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada mereka,” kata Hisommudin.

“Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga bergantung kepada pembangkang yang berpecah untuk menang, tetapi PRU dan pilihan raya negeri pada asasnya berbeza.

Barisan Nasional berdepan risiko besar jika tetap mahu mengadakan PRU15 ketika musim tengkujuh, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

“Saya khuatir Umno mungkin membuat pengiraan yang salah, seperti yang mereka lakukan pada PRU14, bila mana mereka memanggil pilihan raya berdasarkan kemenangan mereka di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.”

Hisommudin berkata, jika banjir menyebabkan kerosakan teruk, pengundi mungkin memilih untuk menghukum BN.

“Kita tidak dapat menentukan tahap kerosakan akibat banjir. Bahaya (buat Umno) jika pengundi beremosi dan memilih untuk menghukum mereka.”

Alasan Umno kononnya Dr Mahathir Mohamad mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh pada 1999 juga tidak tepat, katanya.

“Iklim dunia sekarang berbeza.”

SPR bertanggungjawab

Mazlan berkata, SPR mesti mengambil semua langkah untuk memastikan pengundi dapat menggunakan hak perlembagaan mereka untuk keluar mengundi.

“Jabatan Meteorologi sudah memberi amaran mengenai cuaca, jadi jika Umno masih meneruskan, SPR mesti bersedia,” katanya.

“SPR mesti memikirkan cara untuk membawa orang ramai ke pusat mengundi atau menubuhkan stesen mengundi di pusat pemindahan sementara, itu tanggungjawab mereka.

“Mereka perlu membantu orang ramai pergi ke tempat mengundi. Jika tidak, pengundi boleh mengambil tindakan undang-undang kerana hak mereka untuk mengundi disekat.”

Mazlan berkata, andaian mangsa banjir tidak mahu keluar mengundi juga salah.

Banjir besar di Hulu Langat, Sri Muda dan beberapa negeri hujung tahun lalu menyebabkan banyak kehilangan nyawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

“Pengundi jauh lebih sedar sekarang dan mereka lebih tahu daripada kerajaan.”

Mazlan berkata, secara keseluruhan peratusan keluar mengundi, jika diadakan pada musim tengkujuh, adalah rendah.

“Tetapi, ia akan menikam diri sendiri buat kerajaan dan akan merosakkan imej kerajaan kerana mereka hanya mementingkan kuasa dan bukannya kebajikan rakyat.”

Awal minggu ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun terdapat kemungkinan banjir, BN sanggup menghadapi situasi itu untuk berkempen pada PRU.

Beliau berkata, sekiranya pengundian diadakan pada hujung tahun, jentera Pemuda BN akan bersedia menghulurkan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.

Beliau berdepan kritikan hebat daripada pembangkang susulan komennya.

Kelmarin, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid menepis dakwaan PRU akan diadakan pada musim tengkujuh, susulan mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata, Kabinet sebaliknya membincangkan mengenai persiapan menghadapi banjir. – 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen