AUSTRALIA tidak boleh menerima situasi apabila negara besar bertindak sebagai penentu nasib negara kecil, sebaliknya mahu melihat rantau Asia Tenggara yang aman dan boleh diramal, kata diplomat negara itu, Penny Wong pada Jumaat.
Pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, beliau berkata rantau itu sedang “dibentuk semula” dan menggesa pembabitan lebih meluas dalam kalangan negara Asia Tenggara.
“Australia berusaha untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami di Asean untuk melakukan perubahan bersama-sama,” kata Wong lapor agensi berita Anadolu.
Beliau berkata, Australia mencari wilayah yang “damai dan boleh diramal, dikawal oleh peraturan dan norma yang diterima, menyaksikan negara dan rakyat boleh bekerjasama, berdagang dan berkembang maju.”
Wong berkata Canberra mahukan situasi “yang membolehkan setiap orang menyumbang kepada keseimbangan strategik dengan negara tidak perlu memilih untuk memihak kepada sesiapa sebaliknya boleh membuat pilihan mereka sendiri secara berdaulat.
“Kami mesti menyumbang kepada keseimbangan strategik rantau ini,” katanya.
Menurut Wong, Australia tidak mahu melihat mana-mana negara mendominasi atau dikuasai.
Wong berkata: “Kami mesti memastikan persaingan tidak bertukar menjadi konflik.
“Sekiranya konflik tercetus di Indo-Pasifik, ia bakal mencetus bencana untuk negara dan rakyat kami,” katanya.
Wong berkata, PBB kekal sebagai “satu-satunya platform untuk seluruh dunia berkumpul… dan sedar bagi mengelakkan konflik, kami mesti berbincang dan saling mendengar.”
“Kami tidak boleh menerima keadaan apabila negara besar menentukan nasib negara yang lebih kecil,” katanya.
Beliau turut menggesa negara yang memainkan peranan utama dalam forum antarabangsa menggunakan pengaruh mereka untuk menamatkan konflik Russia-Ukraine.
“Dunia menaruh harapan kepada China, satu kuasa besar, anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, yang menjalin perkongsian tanpa had dengan Russia,” katanya. – Bernama, 24 September, 2022.
Komen