MUHYIDDIN Yassin sekali lagi memberitahu Putrajaya supaya memandang serius kemerosotan ekonomi yang dialami negara dan perlu membentuk jawatankuasa peringkat tinggi untuk menanganinya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak seharusnya bertindak seolah-olah semuanya baik-baik saja mengenai ekonomi negara.
Bekas perdana menteri itu berkata, pendapatan isi rumah keseluruhan Malaysia menyusut sejak penularan wabak Covid-19 pada 2020.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, kadar kemiskinan negara meningkat daripada 40% kepada 61%.
Beliau menegaskan kumpulan pendapatan isi rumah M40 jatuh kepada kurang daripada 20% daripada populasi manakala kumpulan T20 kini menyumbang tidak lebih daripada 10% daripada rakyat negara.
“Apakah maksud ini? Ini satu cabaran besar kepada negara. Sebab itu kerajaan tidak boleh bertindak seolah-olah ini perkara biasa. Ia sesuatu yang luar biasa.
“Sepatutnya ada jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh perdana menteri,” katanya hari ini di Putrajaya pada majlis ulang tahun keenam Bersatu.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, jawatankuasa itu perlu bermesyuarat setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Ini kali kedua Muhyiddin menggesa kerajaan bertindak terhadap ekonomi yang merosot.
Pada Isnin, Muhyiddin berkata Ismail Sabri perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) jika beliau tidak dapat memperbaiki ekonomi negara.
Beliau berkata, PRU akan memberi laluan kepada kerajaan yang lebih berkebolehan, bebas daripada rasuah.
“Saya tidak mendesak PM untuk membubarkan Parlimen seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional tetapi jika ini cara untuk menyelamatkan negara kita, perlulah.
“Jika PM tidak boleh menguruskan ekonomi, lebih baik adakan PRU supaya kerajaan yang lebih berkebolehan, berjiwa rakyat dan bersih boleh dipilih,” katanya dalam catatan Facebook.
Menurut Muhyiddin, langkah yang sepatutnya diambil sudah dicadangkan kepada kerajaan tetapi Ismail Sabri tidak mengendahkannya.
“PM tidak menangani langkah yang sepatutnya diambil seperti cara untuk menyelamatkan ringgit. Beliau juga berkata ini bukan masalah besar.”
Dalam jawapan segera pada Isnin, Ismail Sabri memberitahu Muhyiddin beliau turut bertanggungjawab sekiranya kerajaan dikatakan gagal menangani isu ekonomi negara.
Ismail Sabri berkata, Muhyiddin juga gagal menasihati kerajaan dalam hal ekonomi.
“(Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Mustapa Mohamed (dari Bersatu) menguruskan ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh Muhyiddin,” kata Ismail Sabri selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara.
“MPN menasihati kerajaan. Jadi jika kerajaan gagal, itu bermakna semua orang gagal, termasuk MPN.” – 24 September, 2022.
Komen