Dr Mahathir pertahan DEB, selar kritikan Robert Kuok


Kamles Kumar Radzi Razak

Dr Mahathir Mohamad mengatakan tindakan afirmatif menerusi DEB diperlukan bagi memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dan dipinggirkan, mengulas kritikan Robert Kuok dalam memoirnya yang menentang dasar itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Februari, 2018.

DR Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan afirmatif di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini berdepan kritikan tokoh perniagaan Robert Kuok.

Bekas perdana menteri itu berkata jika tiada tindakan afirmatif dilakukan, Bumiputera akan terus ketinggalan dan dipinggirkan.

“Kita akan buktikan kepadanya mengapa kita ada tindakan afirmatif.

“Tanpa tindakan afirmatif tidak akan ada biasiswa mencukupi untuk Bumiputera,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Kuantan hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu menjelaskan ada peningkatan pelajar Melayu mengambil jurusan perubatan dengan sekurang-kurangnya 40% daripada mereka berada di universiti tempatan.

Kuok dalam memoirnya tahun lepas mengkritik dasar tindakan afirmatif dilakukan Malaysia bagi membantu orang Melayu dalam pendidikan dan perniagaan.

Ahli perniagaan berpengkalan di Hong Kong itu sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan media selepas dituduh membiayai pembangkang.

Kuok menafikan semua tuduhan dan menegaskan beliau setia kepada Malaysia.

Apabila diminta mengulas perkara ini, Dr Mahathir bersetuju yang Kuok adalah “patriot sejati” kerana tidak membatalkan kewarganegaraanya walaupun berjaya di luar negara.

“Dia mengekalkan kewarganegaraan walaupun buat duit di luar Malaysia. Saya percaya dia masih rakyat Malaysia. Jika awak tak patriot, awak dah batalkan kewarganegaraan.” – 28 Februari, 2018.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tun Dr Mahathir tdk menerima kritikan, walaupun kritikan itu membina.. Beliau ni bukan jenis org yang menerima pendapat org lain.. itu lah sebabnya beliau terkenal dengan ditaktor..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan