Peraturan kuarantin wajib pesakit Covid-19 masih diteruskan, kata Khairy


Individu yang disahkan positif Covid-19 perlu menjalani kuarantin rumah tujuh hari, tetapi dibenarkan bebas jika mereka sah negatif pada hari keempat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.

PERATURAN kuarantin wajib untuk pesakit Covid-19 masih berkuatkuasa sehingga hujung tahun ini sebelum dikaji semula selepas itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurut peraturan semasa, individu yang disahkan positif Covid-19 perlu menjalani kuarantin rumah tujuh hari, tetapi dibenarkan bebas jika mereka sah negatif pada hari keempat.

“Salah satu sebab mengapa kita mampu kawal pandemik hari ini adalah kepatuhan rakyat kepada peraturan kuarantin.

“Apabila seseorang diuji positif, mereka asingkan diri selama tujuh hari. Jika mereka diuji negatif pada hari keempat, mereka boleh dilepaskan.

“Buat masa sekarang, kita akan teruskan perkara ini sehingga akhir tahun apabila Akta 342 tidak lagi dikuatkuasa,” kata Khairy kepada wartawan selepas melancarkan Asia Dermatology & Aesthetic Medicine Summit (ADAMS) 2022 di ibu negara.

Beberapa negara seperti United Kingdom telah membatalkan peraturan kuarantin wajib dalam proses beralih ke fasa endemic.

APabila ditanya tentang kes penipuan dalam kalangan pekerja yang mendakwa positif Covid-19 supaya mereka tidak perlu bekerja, Khairy berkata semua ini adalah isu integriti.

“Sekarang semuanya bergantung kepada integriti seseorang. Apabila kita memasuki fasa endemik, kita serahkan tanggungjawab kepada rakyat. Jadi ini jalan kita, dan kita perlu jujur dalam apa juga yang dilaporkan, semuanya bergantung kepada integiriti seseorang,” kata Khairy. – 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen