Muda sedia jelas pada PKR hasrat sertai Pakatan


Mohd Farhan Darwis

Mereka menyedari kritikan dan tentangan dari kalangan pemimpin dan anggota PKR apabila Muda mengumumkan hasrat menyertai Pakatan Harapan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.

MUDA bersedia untuk bertemu pemimpin tertinggi dan anggota akar umbi PKR bagi menerangkan hasrat parti itu untuk menyertai PH, kata pemimpinnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, mereka menyedari kritikan dan tentangan dari kalangan pemimpin dan anggota PKR apabila Muda mengumumkan hasrat menyertai gabungan tersebut.

“Kritikan dan kebimbangan yang dibangkitkan berasas dan saya nyatakan sedia bertemu bagi menjawab segala kebimbangan tersebut.

“Saya percaya pemimpin Muda sangat terbuka untuk berbincang, sama ada secara tertutup atau di forum terbuka. Namun pada masa sama kami juga akan terus bertemu dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin PKR dan akar umbi mereka.

“Ia bagi membolehkan kita maju ke hadapan bersama membina gabungan yang kuat untuk menewaskan Barisan Nasional dan mengukuhkan Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian kepada pemberita selepas majlis parti itu di Petaling Jaya, malam tadi.

Tambahnya, Muda juga menyambut baik keputusan Majlis Presiden PH menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti permohonan mereka menyertai blok pembangkang itu.

“Kami menyambut baik perkembangan itu dan bersedia untuk bertemu pemimpin PH bagi membina kerjasama utuh dan gabungan berasaskan nilai, prinsip, dan idea.

“Kami menunggu tindakan selanjutnya untuk pertemuan tersebut,” katanya.

Muda sudah membuat keputusan kami mahu bekerja dan bersama dengan PH, kami kekal dengan keputusan itu, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.

Tambahnya, Muda sedia memberi masa kepada PH untuk tujuan itu dan mereka membawa tawaran membina gabungan berasaskan nilai, prinsip, dan idea.

“Muda sudah membuat keputusan kami mahu bekerja dan bersama dengan PH, kami kekal dengan keputusan itu,” kata Syed Saddiq lagi.

Pada 22 September, Majlis Presiden PH memaklumkan satu jawatankuasa akan dibentuk bagi bagi merundingkan permohonan Muda dan juga parti PSM menyertai gabungan tersebut.

Jawatankuasa itu dianggotai wakil setiap komponen PH, antaranya Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Penganjur DAP Steven Sim.

Dia lagi anggota terdiri dari Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda dan Naib Presiden UPKO Ewon Benedick.

Permohonan Muda menyertai PH secara rasmi dimaklumkan Syed Saddiq pada 6 September lalu selepas parti itu menganjurkan Persidangan Pilihan Raya Muda.

Keputusan itu menerima kritikan khususnya daripada beberapa pemimpin PKR namun presidennya Anwar Ibrahim berpendapat hasrat Muda itu harus diteliti melalui perbincangan.

Tentangan antara lain disuarakan Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim yang dilihat tidak memberi laluan mudah untuk Muda menyertai PH.

Beliau menyatakan PH harus menyelesaikan beberapa isu terutama sekali sentimen akar umbi sebelum mempertimbang untuk menerima Muda.

Sewaktu Pilihan Raya Negeri Johor, Muda yang pertama kali bertanding gagal mencapai kata sepakat dengan PKR menyebabkan berlaku pertindihan di kerusi DUN Larkin.

Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah yang mewakili BN kemudian berjaya menang kerusi itu yang menyaksikan pertandingan enam penjuru. – 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen