Protes tragedi pelajar hilang di Mexico bertukar ganas


43 pelajar perguruan menaiki bas dari negeri Guerrero untuk menghadiri protes di Bandar Mexico sebelum dilaporkan hilang. – Gambar AFP, 24 September, 2022.

PENUNJUK perasaan melontar batu dan alat letupan buatan sendiri kepada pihak berkuasa di pangkalan tentera Mexico ketika tunjuk perasaan pada Jumaat bagi membantah kehilangan 43 pelajar pada 2014.

Ratusan penunjuk perasaan cuba menceroboh Kem Tentera No.1 di Bandar Mexico dalam kejadian terbaru pada tahun ke-lapan tragedi itu.

Pihak berkuasa menembak meriam air kepada penunjuk perasaan.  

Ia berlaku sehari selepas sekumpulan anggota polis cedera dalam protes di luar pejabat peguam negara yang menuntut keadilan untuk pelajar.

Dan pada Rabu, waris mangsa berarak di luar Kedutaan Israel, menuntut ektradisi Tomas Zeron, bekas penyiasat utama yang dihendaki kerana kaitan tragedi terburuk hak asasi manusia di negara itu.

43 pelajar perguruan menaiki bas dari negeri Guerrero untuk menghadiri protes di Bandar Mexico sebelum dilaporkan hilang.

Penyiasat berkata mereka ditahan polis korip dan diserahkan kepada kartel dadah yang menyangka mereka adalah anggota kartel lawan, tetapi laporan itu dibantah banyak pihak.

Bulan lepas, jawatankuasa kebenaran ditugaskan kerajaan semasa untuk menyiasat tragedi itu mengeluarkan kenyataan yang kes itu adalah “jenayah negara” melibatkan pelbagai institusi.

Ia mengatakan, tentera “bertanggungjawab sepenuhnya” sama ada secara langsung atau tidak.

Waran tangkap sudah dikeluarkan kepada lebih 80 orang suspek termasuk anggota tentera, polis dan kartel dadah.

Bekas peguam negara Jesus Murillo Karam yang mengetuai siasatan kehilangan paksa itu ditahan bulan lepas atas tuduhan kehilangan paksa, penyiksaan dan menghalang proses keadilan. – AFP, 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen