Thailand beri lebih banyak kelonggaran Covid-19


Thailand akan menamatkan darurat seluruh negara, yang dilaksanakan pada 24 Mac 2020 bagi membendung penularan Covid-19, pada 30 September ini. – Gambar AFP, 24 September, 2022.

PELAWAT ke Thailand kini tidak lagi perlu menunjukkan bukti telah lengkap vaksin Covid-19 untuk memasuki negara itu mulai bulan depan.

Pelawat juga tidak lagi perlu mengemukakan keputusan ujian pantas Covid-19 semasa ketibaan, antara langkah yang diambil untuk melonggarkan sekatan Covid-19 serta mempromosikan perjalanan dan juga perniagaan.

Jurucakap Pusat bagi Pentadbiran Situasi Covid-19, Dr Taweesin Visanuyothin berkata memandangkan situasi pandemik itu semakin baik, Thailand akan menamatkan darurat seluruh negara, yang dilaksanakan pada 24 Mac 2020 bagi membendung penularan Covid-19, pada 30 September ini.

Beliau berkata pesakit Covid-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan, tidak perlu dikuarantin.

“Kedudukan Covid-19 akan diturunkan daripada penyakit berjangkit berbahaya kepada penyakit berjangkit dalam pengawasan” mulai 1 Okt,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata CCSA akan dibubarkan dan menamatkan peranannya dalam membendung Covid-19.

Thailand menyasarkan sekurang-kurangnya 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini, dengan 1.5 juta pelancong asing dari Oktober hingga Disember.

Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 752 kes Covid-19 dengan sembilan kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 4,677,090 dan 32,692 kematian. – Bernama, 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen