Presiden Xi Jinping mengucapkan tahniah kepada golongan petani atas sumbangan dan segala pengorbanan yang diberikan selama ini untuk membantu negara melakar kejayaan dalam industri pertanian.
“Terima kasih kepada semua petani yang terus berkhidmat dalam bidang pertanian terutama di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Petani di China menyambut Pesat Menuai kali kelima pada Jumaat. Pesta ini mula diperkenalkan pada 2018.
Xi berkata China telah mencapai peningkatan tuaian bijirin musim panas dan padi, dan dijangka memperoleh hasil bijirin yang lebih banyak sepanjang tahun ini.
“Ini bukanlah perkara yang mudah dicapai dengan mengatasi pelbagai kesukaran seperti bencana banjir dan kemarau, serta gelombang wabak yang melanda,” katanya.
Xi berkata jawatankuasa Parti dan kerajaan pelbagai peringkat perlu memperincikan pelaksanaan dasar dan peraturan mengenai aktiviti pertanian, kawasan luar bandar dan golongan petani, meningkatkan usaha untuk menjamin keselamatan makanan, menstabilkan pengeluaran pertanian, di samping memperkukuh usaha membasmi kemiskinan.
“Usaha harus dilakukan untuk mempergiatkan pembangunan luar bandar supaya golongan petani dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan kawasan luar bandar menjadi lebih makmur dan indah,” katanya.
Pada 2018, hari ‘Ekuinoks Musim Luruh’ setiap tahun ditetapkan sebagai Pesta Menuai Petani China, dan ini mencerminkan tumpuan China terhadap aktiviti pertanian, kawasan luar bandar dan kehidupan petani. – Bernama, 24 September, 2022.
Komen