CHINA berjaya mencapai matlamat tindakan iklim 2020 dengan lebih awal, di samping aktif menyertai kerjasama Selatan-Selatan untuk menangani perubahan iklim.
Di samping itu China juga melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global, dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan untuk membina ‘Jalan Sutera’ yang mesra alam.
Demikian menurut Menteri Luar China, Wang Yi selaku wakil khas Presiden Xi Jinping, ketika menyampaikan ucapan dalam mesyuarat peringkat tinggi mengenai perubahan iklim di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Rabu.
Wang Yi berkata Presiden Xi menegaskan bahawa bumi ialah satu keluarga besar, dan manusia pula satu komuniti menjadikan perubahan iklim sebagai cabaran kepada banyak negara dan patut ditangani melalui kerjasama.
Beliau turut mengemukakan cadangan pihak China untuk mempergiat matlamat tadbir urus iklim global.
“Kita harus menjayakan Persidangan Perubahan Iklim PBB di Sharm el-Sheikh supaya dapat mencapai hasil yang positif dan seimbang dalam sektor mitigasi, penyesuaian dan pembiayaan.
“Pada masa sama, kita patut mementingkan pelaksanaan perjanjian berkaitan, mengutamakan prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza, melaksanakan konsensus tercapai, dan mendorong matlamat kawalan suhu Perjanjian Paris.” kata Wang Yi.
Beliau menyeru semua negara menggalakkan transformasi hijau, mengurangkan penggunaan tenaga tradisional di samping meningkatkan penggunaan tenaga baharu.
“Suasana politik yang baik juga mustahak bagi meningkatkan tadbir urus iklim global,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan negara-negara supaya menyingkirkan unilateralisme, permainan geopolitik dan halangan hijau.
Di samping itu, negara maju harus mencapai neutral karbon lebih awal daripada jadual demi memberikan ruang pembangunan kepada negara membangun, dan membina semula keyakinan Utara-Selatan, katanya. – Bernama, 24 September, 2022.
Komen