Pengimport tertekan sebab ringgit jatuh


Angie Tan

Ringgit menyusut menyebabkan kos operasi perniagaan melonjak naik, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.

PENGIMPORT kini tertekan dengan kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan kos untuk perniagaan telah melonjak naik, kata pemain industri.

Chuah Seong Kok, pengarah Soon Thye Hang, pengimport makanan laut kering berkata kadar pertukaran wang dan gaji pekerja telah menjejaskan perniagaan dengan teruk.

“Produk import dijual dalam dolar AS, manakala sebilangan kecil guna Yuan China,” kata Chuah.

“Apabila ringgit jatuh, ia beri kesan langsung kepada harga komoditi yang kemudian mencetuskan gelombang kenaikan harga benda lain.”

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata nilai ringgit yang semakin susut adalah satu rahmat kepada pengeksport.

Chuah bagaimanapun mempersoalkan sama ada menteri itu fikirkan nasib pengimport.

“Kos import kami meningkat sebanyak 5 peratus sebab ringgit lemah.”

Walaupun pembekal berikan kredit kepada pengimport, ia bagaimanapun perlu dilangsaikan dalam tempoh 30 hari, katanya.

“Lima minggu lepas, waktu saya beli barang, ringgit didagangkan pada 4.5 berbanding dolar AS, kini ia berada pada 4.55.”

Memandangkan kos import telah meningkat, Chuah berkata perniagaan tempatan akan mempertimbangkan untuk menaikkan harga mereka juga.

“Kami masih perlu tengok reaksi pasaran, sebab pelanggan mungkin tidak dapat terima dan kami mungkin terpaksa tanggung sendiri kos tambahan itu.”

Chuah berkata perniagaan kini perlahan-lahan pulih selepas pandemik.

“Kami tak berani simpan terlalu banyak stok dan menjual bila kadar pertukaran jatuh seperti dulu,” katanya.

“Arah aliran dan permintaan pasaran telah berubah. Kalau kami ada terlampau banyak stok tetapi tiada pembeli, kami masih perlu bayar bil.”

Chuah berharap kerajaan akan cari penyelesaian untuk stabilkan ringgit dalam belanjawan akan datang, atau umum tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hanya dengan kestabilan politik pelabur dan perniagaan asing akan kembali yakin terhadap negara kita dan membolehkan ekonomi pulih,” katanya.

Presiden Persatuan Kedai Runcit Perak Beh Keat Soon berkata dolar AS yang lebih tinggi telah mendorong harga barangan kering yang diimport dari India, China dan Vietnam meningkat sebanyak 10 hingga 20 peratus.

“MSG (monosodium glutamat) telah meningkat paling banyak dengan 20kg kini berharga RM30 lebih.”

Beh berkata beliau juga sedar pengguna telah berbelanja lebih, cuma beli yang perlu.

“Mereka tidak lagi mampu membeli banyak barangan disebabkan gaji mereka,” katanya.

“Kita cuma boleh harap kerajaan dapat stabilkan ringgit supaya harga barang dapat turun dan kuasa beli boleh naik.”

Subsidi kepada kumpulan berpendapatan rendah dan akses yang lebih baik kepada pinjaman untuk perniagaan juga dapat membantu, kata Beh. – 24 September, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen