Bank Negara tidak tambat ringgit ketika mata wang susut


Raevathi Supramaniam

Bank Negara Malaysia berkata keadaan kewangan global yang lebih ketat dan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2022.

MALAYSIA tidak akan melaksanakan kawalan modal atau menambat ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun dagangan mata wang berada pada paras terendah berbanding dolar AS, kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini.

Ini bagi membolehkan ekonomi negara kekal terbuka dan ringgit ditentukan pasaran, kata BNM.

“Keutamaan dasar pada masa ini adalah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil serta mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi dalam negeri melalui pembaharuan struktur dan bukannya dengan melaksanakan kawalan modal atau menambat semula ringgit.

“Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berterusan untuk ringgit,” kata Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bank pusat berkata ia terus memantau dengan rapi pasaran kewangan malah keadaan kewangan global yang lebih ketat dan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran pertukaran asing dijangka tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ia berkata ekonomi Malaysia juga telah berkembang 8.9 peratus pada suku kedua dan akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang semakin giat.

“Eksport disokong oleh produk dan pasaran negara yang sangat pelbagai. Sistem kewangan domestik mempunyai tahap permodalan yang kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi. Pengantaraan kewangan juga terus menyokong ekonomi.”

Ringgit jatuh kepada 4.5670/5710 berbanding dolar AS daripada 4.5660/5695 ketika ditutup semalam.

Ketika krisis kewangan Asia 1998, Malaysia telah menambat ringgit pada 3.8 kepada dolar AS dan mengenakan kawalan modal. Ia kemudiannya dikeluarkan pada 2005.

Minggu ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz juga menolak cadangan untuk menambat ringgit, berkata langkah itu sangat berisiko dan boleh mengakibatkan aliran keluar modal. – 23 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen