PROTES semakin meluas di Iran susulan insiden kematian Mahsa Amini menyebabkan sekurang-kurang 17 maut setakat semalam, lapor media tempatan.
Wanita Kurdish berusia 22 tahun itu meninggal dunia minggu lalu selepas ditahan polis moral Iran kerana didakwa memakai tudung secara tidak sempurna, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman video tersebar memaparkan penunjuk perasaan melaungkan “wanita, kehidupan, kebebasan”, ketika Iran berdepan gelombang demonstrasi terbesar dalam tempoh hampir tiga tahun.
Sebahagian penunjuk perasaan wanita turut membakar tudung mereka di jalanan, malah ada yang menggunting rambut sendiri sebagai simbolik bantahan terhadap kod pakaian yang menetapkan peraturan ketat.
Media tempatan melaporkan angka rasmi mangsa yang maut dalam protes itu kini mencecah sekurang-kurang 17 mangsa, termasuk lima anggota keselamatan.
Namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Oslo, Hak Asasi Manusia Iran (IHR) mendakwa sekurang-kurangnya 31 orang awam maut.
Pengarah IHR Mahmood Amiry-Moghaddam berkata penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan secara aman, ditembak dengan peluru.
Agensi berita rasmi IRNA pula melaporkan penunjuk perasaan melemparkan batu, membakar kenderaan polis dan melaungkan slogan antikerajaan.
Semalam, pihak berkuasa menahan dua jurugambar wanita, Niloufar Hamedi daripada akhbar reformasi Shargh, dan Yalda Moayeri yang bekerja dengan media tempatan, serta aktivis Mohammad-Reza Jalaipour, lapor media Iran.
Keganasan dikhuatiri terus meningkat selepas Iran menyekat akses kepada internet serta aplikasi pesanan, termasuk WhatsApp dan Instagram yang digunakan secara meluas di negara itu selepas pihak berkuasa menyekat platform lain, termasuk Facebook serta Twitter sejak beberapa tahun lalu. – AFP, 23 September, 2022.
Komen