Jepun tarik semula sekatan ke atas pelancong asing mulai Oktober


Jepun mengumumkan akan menarik semula sekata Covid-19 yang ketat ke atas pelancong asing dengan membuka semula sempadan selepas dua tahun setengah. – Gambar EPA, 23 September, 2022.

JEPUN semalam mengumumkan akan menarik semula sekata Covid-19 yang ketat ke atas pelancong asing dengan membuka semula sempadan selepas dua tahun setengah.

Bercakap di Bursa Saham New York Perdana Menteri Fumio Kishida berkata wabak itu mengganggu aliran bebas rakyat, barangan dan modal yang membantu negara berkembang.

“Tetapi mulai 11 Oktober Jepun akan melonggarkan langkah kawalan sempadan agar setanding dengan AS serta meneruskan perjalanan tanpa visa dan perjalanan individu,” katanya yang berada di negara itu bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jepun bersama-sama dengan China tetap meneruskan sekatan ketat ke atas pelawat walaupun kebanyakan dunia sudah beralih dari wabak itu.

Tetapi tidak seperti China Jepun tidak pernah mengenakan penutupan ketat semasa krisis.

Pelancong yang datang ke Jepun akan menikmati mata wang yen yang lemah yang menjunam begitu rendah berbanding dolar sehingga Kementerian Kewangan campur tangan dalam pasaran wang semalam buat kali pertama sejak 1998.

Pengembalian program pengecualian visa yang akan digantung pada Mac 2020 akan memulihkan kemudahan akses yang menyaksikan rekod 31.9 juta pelawat asing ke negara itu pada 2019.

Sejak Jun Jepun membenarkan pelancong melawat secara berkumpulan diiringi oleh pemandu pelancong.

Penganalisis Jepun yang berpangkalan di AS James Brady berkata Kishida “mengambil alih jawatan setahun yang lalu kerana tahu tanggapan salah pengendalian wabak itu menjadi faktor utama dalam menjejaskan keyakinan orang ramai” terhadap kerajaan pendahulunya, Brady memberitahu AFP.

“Dia sangat berhati-hati untuk tidak mengulangi kesilapan itu,” katanya.

Jepun merekodkan kira-kira 42,600 kematian akibat koronavirus secara keseluruhan, kadar yang jauh lebih rendah daripada banyak negara lain dan 90 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas mendapat tiga suntikan vaksin.

Tiada undang-undang yang mewajibkan orang ramai memakai topeng pelitup muka tetapi masih ramai rakyat Jepun yang memakainya ketika berada di luar dan mereka bersedia memakainya apabila sakit walaupun sebelum wabak melanda. – AFP, 23 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen