TURKIYE menghantar dua lagi “Tren Kebaikan” ke Pakistan, dengan muatan barangan bantuan untuk mangsa banjir selepas satu pertiga negara Asia Selatan itu digenangi air bah.
Tren kelapan dan sembilan itu masing-masing membawa 1,040 tan barangan bantuan, termasuk makanan dan produk kebersihan, berlepas dari ibu negara, Ankara, lapor Agensi Berita Anadolu (AA).
Penghantaran barangan sumbangan 22 pertubuhan bukan kerajaan dari 30 wilayah di Turkyie itu diselaraskan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).
Majlis pelepasan dihadiri Duta Besar Pakistan ke Ankara, Muhammad Syrus Sajjad Qazi dan Onder Bozkurt, naib presiden tindakan bencara AFAD.
Berucap pada majlis itu, Qazi berterima kasih kepada penduduk Turkyie yang bersama-sama dengan Pakistan ketika negara itu berhadapan musibah.
“Ini akan membantu kami mengatasi kekurangan serius bekalan makanan akibat banjir,” kata Qazi.
“Saya yakin, kami akan dapat mengatasi cabaran serius ini, dan dengan bantuan rakyat Turkyie, kami akan lebih kuat,” kata Qazi.
Dengan tujuh lagi terkorban, jumlah kematian meningkat kepada 1,576 di seluruh negara sejak Jun, lapor Pihak Berkuasa Pengurusan Banjir Nasional Pakistan.
Setakat ini, lebih dua juta rumah musnah, dengan 803,400 rumah musnah sama sekali manakala 1.21 juta rumah separuh rosak. Lebih sejuta haiwan ternakan juga terkorban.
Beribu-ribu penduduk kini tinggal dalam khemah.
Musim monsun di Pakistan, seperti negara lain di kawasan berkenaan, lazimnya mencatat hujan lebat, namun tahun ini, keadaan paling buruk direkodkan sejak 1961.
Satu pertiga daripada negara itu kini ditenggelami air apabila hujan lebat serta pencairan glasier menyebabkan limpahan Sungai Indus, sungai utama di negara itu. Banjir turut memusnahkan kawasan pertanian. – Bernama, 23 September, 2022.
Komen