Inisiatif rumah sewa KPT tidak memuaskan hati, kata pelajar UM


Elill Easwaran

Presiden Persatuan Pelajar UM Guo Shen (tengah) berkata KPT perlu lakukan rancangan jangka panjang dengan mewujudkan lebih banyak tempat penginapan pelajar di dalam kampus. – Gambar The Malaysian Insight, 23 September, 2022.

PELAJAR Universiti Malaya (UM) tidak berpuas hati dengan inisiatif terbaru Putrajaya dalam menyelesaikan masalah tempat tinggal mereka, kata Presiden Persatuan Pelajar UM Guo Shen.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight usaha kerajaan mewujudkan portal Rumah Sewa Siswa (RSS) gagal menyediakan tempat tinggal yang mencukupi dan dalam bajet pelajar.

“Ia usaha yang baik tetapi daripada sudut pandangan persatuan, rancangan jangka panjang ialah mewujudkan lebih banyak ruang peningapan untuk sekurang-kurangnya 70% pelajar,” katanya.

Katanya, setakat ini ada kira-kira 98 iklan di portal itu tetapi bukan semua perumahan mampu milik.

“Mungkin selepas ini ada lagi iklan, bagi jangka pendek, ia usaha yang baik, tetapi pelajar berharap lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk menangani isu ini.

“Kami ada saluran Telegram untuk pelajar mencari rumah sewa tetapi saluran itu saja ada kira-kira 2,400 ahli, jadi dengan 98 iklan ia memang tidak cukup,” katanya.

Guo Shen berkata persatuan pelajar tidak ada jalan penyelesaian bagi masalah penginapan dalam tempoh jangka pendek ini.

“Banyak lagi perlu dilakukan untuk menangani isu ini bagi jangka panjang kerana rumah sewa di luar bermakna ia hartanah persendirian dan tuan rumah boleh menetapkan sewa mengikut kehendak mereka.”

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata ia akan terus memantau pentadbiran portal RSS bagi memastikan lebih banyak rumah sewa disenaraikan pada kadar berpatutan bagi memenuhi keperluan pelajar luar kampus.

“Universiti awam, menerusi Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus, perlu terus membantu pelajar terbabit.

“Pelajar juga dinasihatkan untuk berhubung dengan unit itu di universiti masing-masing untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan mencari rumah, kontrak sewa dan perkara berkaitan lain,” katanya.

Tinjauan mendapati purata sewa untuk bilik ialah RM500, di mana angka itu tinggi berbanding bajet kebanyakan pelajar.

Persatuan Pelajar UM menyediakan kumpulan Telegram untuk pelajar mencari rumah sewa dan setakat ini mempunyai kira-kira 2,400 ahli. – Gambar The Malaysian Insight, 23 September, 2022.

Tidak puas hati dengan portal

Pelajar tahun tiga Nurfatin Fathihah, 21, berkata tidak banyak manfaat dapat diterima daripada menggunakan portal berkenaan.

“Maklumat penting tidak ada seperti nombor ejen untuk dihubungi bagi memastikan ia sah dan bukan penipuan.

“Gambar rumah atau bilik jugak tidak disediakan dan kami perlu menghubungi individu berkenaan untuk mendapatkan maklumat.”

Bagaimanapun, katanya beliau bernasib baik kerana mendapat tempat yang tidak terlalu jauh dari kampus.

“Tetapi saya terpaksa kongsi rumah itu dengan ramai pelajar lain bagi menampung kos. Ia masih jauh lebih tinggi berbanding bayaran jika tinggal di kampus.”

Katanya, inisiatif KPT itu permulaan yang baik tetapi masih banyak perlu ditambahbaik.

“Mungkin mereka boleh minta wakil universiti berkongsi apa yang perlu untuk portal berkenaan supaya lebih mudah untuk cari rumah sewa.

“Menerusi usaha ini, mereka mungkin boleh beri sedikit faedah kepada pemilik rumah supaya harga sewa dapat diturunkan. Ini bagi menggalakkan pelajar menggunakan platform ini berbanding laman web sewa rumah yang lain,” katanya. – 23 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen