KONFLIK yang masih berterusan di kalangan parti BN di Tanjung Malim dijangka akan menguntungkan PH untuk terus mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Di sudut Umno, para pemimpin parti itu mengakui masalah timbul kerana MCA masih berminat untuk meletakkan calon mereka di kawasan itu dalam PRU15.
Naib Ketua Umno Tanjung Malim Mohamad Hatta Lodin berkata, BN sukar untuk menang jika calon MCA masih bertanding di kerusi tersebut kali ini.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pengundi Tanjung Malim sudah menunjukkan sentimen jelas supaya BN meletakkan calon Melayu.
“Kita tahu kerusi Tanjung Malim mempunyai sekitar lebih 60,000 pengundi Melayu dan akan ada pertambahan pengundi sekitar 10,000 daripada jumlah pengundi yang ada sekarang.
“Jadi sentimen sokongan orang Melayu sangat kuat, kita ada pun kajian yang kita buat di mana hasil dapatan majoriti penduduk Tanjung Malim kali ini mahukan calon dari kaum Melayu,” katanya.

Selain itu, kalangan pemimpin MCA sendiri dibimbangi menolak sekiranya calon yang tewas dalam PRU14, Dr Mah Hang Soon kembali bertanding.
“Masa PRU14, setiausaha MCA Ong Ka Chuan yang merupakan penyandang kerusi Tanjung Malim telah memberikan kerusi itu kepada Mah.
“Dan sekarang macam ada konflik dalaman MCA bahagian tidak mahu meletakkan Mah sebagai calon.
“Jadi kita minta kalau betul ada konflik biarlah mereka bertenang dulu dan selesaikan dulu dan beri kepada Umno.
“Yang kita bimbang ia akan beri kesan kepada BN juga apabila meletakkan calon bukan pilihan di mana akan berlaku sabotaj atau boikot daripada penyokong sendiri,” kata Mohamad Hatta.
Seramai 55% dari lebih 68,600 pengundi Tanjung Malim terdiri daripada pemilih Melayu, selain 25.6% Cina, 13% India dan 5.86% Orang Asli.
Hampir separuh daripada pengundi Melayu merupakan peneroka Felda yang memberi petunjuk kepada penguasaan BN di kawasan tersebut sejak sekian lama.
Namun majoriti kemenangannya merosot teruk sejak PRU13 dan parti itu akhirnya kecundang di kerusi tersebut dalam PRU14 di tangan calon PH Chang Lih Kang dengan perbezaan 5,358 undi.
Biarpun tewas, Dr Mah kemudian dilantik menjadi timbalan menteri pendidikan 1 selepas pentadbiran PH ditumbangkan dengan percaturan politik Langkah Sheraton.
Isu perebutan kerusi Tanjung Malim mula dibangkitkan Umno bahagian Jun tahun lepas, namun MCA dilaporkan enggan menyerah kerusi tradisi mereka.

Ketuanya Goh Choong Seng seperti dilaporkan media berkata MCA akan terus mempertahankan kerusi berkenaan dengan meletakkan calon mereka.
Umno pula terdesak untuk meletakkan calonnya untuk menang dalam PRU15 atas jangkaan Tanjung Malim akan bertukar dari kawasan separa bandar kepada bandar sepenuhnya.
Jelas Mohamad Hatta, BN tidak akan berpeluang merampas kembali kerusi tersebut apabila ia menjadi kawaan bandar sepenuhnya jika tewas sekali lagi dalam PRU15.
Katanya, keadaan itu dapat dilihat berlaku di Selangor apabila kawasan separa bandar bertukar menjadi kawasan bandar sepenuhnya.
Mohamad Hatta memberi contoh kawasan DUN Behrang, salah satu kawasan luar bandar dalam Parlimen Tanjung Malim yang kini membangun pesat dengan bandar industri kereta Proton City.
“Dan kita dengar bahawa Proton City di Shah Alam bakal berpindah dan beroperasi sepenuhnya di Behrang. Bayangkan orang bandar dari Shah Alam berpindah ke Behrang dan membandarkan kawasan ini.
“Sebab itu kita menang sekarang supaya senang untuk kita mendidik pengundi menanamkan sokongan kepada Umno,” katanya yang menambah universiti perguruan ulung negara juga di Tanjung Malim.
Jelasnya lagi, BN tewas di Behrang dalam PRU14 kerana sabotaj daripada 3,000 pengundinya yang tidak keluar mengundi.
Selain Behrang, DUN Slim juga kawasan majoriti Melayu luar bandar dalam Tanjung Malim, manakala Sungkai kawasan separa bandar dengan majoriti pengundi Cina.
Mohamad Hatta menegaskan, beliau yakin Umno akan menang jika meletakkan calonnya kerana mendakwa Chang gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai ahli Parlimen.
“Antara masalah Tanjung Malim ini seringkali ada banjir kilat, jadi untuk Umno kita bersedia apabila adanya bencana kita terus pergi hulur bantuan.
“Tapi penduduk selalu merungut ahli Parlimen mereka lambat bertindak. Kalau datang pun mungkin lepas dua tiga hari banjir baru muncul.
Bagaimanapun beliau berkata Umno Tanjung Malim akan akur dengan apa sahaja keputusan BN walau ia tidak memihak kepada hasrat mereka.

PH mungkin menang tipis
Sementara itu Pengarah Strategi Pilihan Raya PKR Saiful Rizuan menjangka kemenangan PH bergantung kepada bilangan calon yang bakal bertanding di Tanjung Malim.
Jelasnya, kedudukan mereka sangat berisiko kerana PH tidak berjaya menang dengan majoriti besar dalam PRU14.
“Yang kita dengar kemungkinan ada pertandingan empat penjuru. Ini selepas bekas wakil rakyat Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi umum bertanding sebagai calon bebas.
“Jika ini berlaku kita anggap sebagai pemecah undi, kerana PH yakin boleh menang jika ada pertandingan dua penjuru – PH dan BN, dan empat penjuru, PH, BN, PN, calon bebas.
“Tapi menang dengan tipis sahaja, saya rasa semua parti pun akan begitu kerana berlaku pecah undi,” katanya.
Tapi PH berisiko gagal mempertahankan kerusinya jika ia hanya melibatkan tiga penjuru kerana menjangka terpaksa bersaing Perikatan Nasional, katanya
Ditanya mengenai sentimen sokongan pengundi Melayu, Fauzi berkata ia tidak banyak berubah dan melihat pemilih berknaan masih setia kepada Umno.
Namun beliau tidak menolak sentimen itu mungkin akan diganggu sedikit oleh PN yang antara lain akan memainkan isu penyelewengan dilakukan bekas presiden Umno Najib Razak.
Selain itu masalah bekalan tenaga buruh dan perumahan generasi kedua yang masih belum selesai di kawasan Felda juga akan menjejaskan undi Umno, katanya.
“Tapi saya tidak pasti itu tersebut akan boleh membuat sampai undi itu beralih kepada PN,” katanya.
Pada masa sama Saiful berkata PH Tanjung Malim mengharapkan pemimpin tertinggi mengekalkan penyandang kerana melihat Chang konsisten dalam memberi khidmat bakti kepada penduduk.
“Soal calon ini keputusan pucuk pimpinan, tapi kita harap beliau kekal, lagipun beliau naib presiden dan beliau berkhidmat dengan begitu cemerlang sekali,” katanya. – 23 September, 2022.
Komen