TAIWAN akan membuka semula sempadan sepenuhnya dengan menamatkan kuarantin mandatori Covid-19 untuk pelancong yang tiba di negara itu bulan depan, kata kerajaan hari ini.
Pulau itu sebahagian besarnya menutup sempadannya dan melaksanakan peraturan kuarantin yang ketat sepanjang koronavirus melanda, mengekalkan jumlah jangkitan yang rendah dengan mengurangkan jumlah kemasukan antarabangsa.
Kerajaan mula beralih daripada strategi sifar Covid-19 pada April ke fasa endemik sebaik sahaja penduduknya menerima vaksin.
Mulai 13 Oktober pihak berkuasa akan menghapuskan peraturan kuarantin dan meminta mereka yang tiba di negara itu untuk memantau sendiri kesihatan mereka selama tujuh hari, kata jurucakap Kabinet Lo Ping-Cheng memetik kenyataan Perdana Menteri Su Tseng-chang.
Ketika ini pelancong perlu menjalani kuarantin wajib di hotel selama tiga hari diikuti dengan pemantauan diri selama empat hari.
Perjalanan bebas visa untuk pelancong dari negara tertentu akan disambung semula mulai 29 September dan larangan ke atas kumpulan pelancongan akan ditarik balik pada Oktober, tambah Lo.
Langkah baharu itu akan membolehkan “orang ramai kembali ke kehidupan normal sepenuhnya, Taiwan membuka pintunya untuk mengalu-alukan kembali pelancong dan semua industri menjadi lebih aktif dan makmur”, katanya.
Tetapi beberapa pakar industri pelancongan berkata Taiwan masih bergelut bersaing untuk pelawat destinasi lain di rantau ini kerana peraturan pemantauan kendirinya.
“Seluruh dunia kecuali China dan Taiwan sudah dibuka dan Taiwan sudah terlalu lambat,” kata Robert Kao, pakar dalam pengurusan dan operasi pelancongan di Universiti Teknologi Tainan.
Beliau menyifatkan tujuh hari pemantauan kendiri tanpa kuarantin sebagai “tidak bermakna” dan menambah “pelancong akan memilih negara seperti Jepun atau Korea Selatan di mana tiada sekatan sedemikian”.
Taiwan menyaksikan hampir enam juta jangkitan koronavirus domestik tahun ini walaupun lebih 99%daripada yang dijangkiti mempunyai simptom ringan atau tiada dengan kadar kematian 0.16%, menurut data rasmi.– AFP, 22 September, 2022.
Komen