PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyifatkan Russia melanggar peraturan antarabangsa tanpa segan silu apabila menceroboh Ukraine.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menyatakan komitmen menyalurkan lebih banyak bantuan makanan dan menyokong pertambahan kerusi dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk negara membangun.
Biden dilihat cuba memancing sokongan dunia dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), beberapa jam selepas Presiden Russia Vladimir Putin mengerah pasukan simpanan tentera untuk bertempur di Ukraine, yang didakwa Barat sebagai langkah terdesak Kremlin.
“Russia melanggar rukun asas Piagam PBB tanpa rasa malu.
“Biar kita bercakap secara berterus terang. Anggota tetap UNSC menceroboh jirannya, cuba menghapuskan negara berdaulat ini daripada peta dunia,” kata Biden di New York.
Selepas mengecam Russia, fokus ucapan Biden memberi tumpuan kepada negara membangun, di mana kemarahan mula timbul terhadap perbelanjaan besar-besaran Barat untuk menyumbang senjata kepada Ukraine.
Biden turut mengumumkan suntikan dana tambahan AS$2.9 bilion bagi mengatasi isu keselamatan makanan global, yang semakin buruk sejak pencerobohan Ukraine, negara pengeksport bijirin utama.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap cadangan memperluas UNSC, idea yang sudah diutarakan sejak puluhan tahun lalu namun tidak pernah dipandang berat oleh AS.
Biden berkata AS akan menyokong pertambahan kerusi tetap untuk Afrika dan Amerika Latin, di samping sokongannya sebelum ini untuk Jepun dan India. – AFP, 22 September, 2022.
Komen