PRU15 tidak diadakan pada musim tengkujuh, kata pemimpin Umno 


Raevathi Supramaniam

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata topik utama perbincangan pada mesyuarat kabinet semalam ialah persiapan menghadapi banjir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

PILIHAN Raya Umum ke-15 tidak mungkin diadakan pada musim tengkujuh, kata Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

Beliau berkata topik utama perbincangan pada mesyuarat kabinet semalam ialah persiapan menghadapi banjir.

“Biar perdana menteri membuat pengumuman kerana beliau mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Kami memahami (risiko) banjir, dan perdana menteri juga akan mengambil kira nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia,” kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu kepada pemberita.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai semua dakwaan di media sosial.

“Ada yang mendakwa banjir akan berlaku pada Oktober manakala ada yang mengatakan ia akan berlaku pada November dan Disember.

“Adalah lebih baik dapatkan maklumat yang betul daripada pihak berkuasa berkaitan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Awal minggu ini, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, walaupun ada kemungkinan banjir, BN sanggup meredahnya untuk berkempen pada PRU15.

Beliau berkata sekiranya pilihan raya diadakan pada penghujung tahun, jentera Pemuda BN akan bersedia menghulurkan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.

Bagaimanapun kenyataanya mendapat pelbagai kritikan daripada pembangkang.

Sambil membidas pengkritiknya, Zahid berkata, sekiranya pembangkang bimbang mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh, maka pilihan raya perlu diadakan sekarang.

“Sudah masa untuk mereka ‘walk the talk’ dan `tekanlah butang’ supaya SPR boleh tetapkan tarikh terhampir untuk rakyat memilih sebuah kerajaan baharu yang stabil dan lebih kukuh,” kata Zahid dalam catatan Facebook terbarunya.

Beliau juga berkata pembangkang hanya menggunakan musim banjir sebagai taktik penangguhan untuk menyelamatkan karier politik mereka sendiri. – 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen