KIRA-KIRA 200 ekor paus pandu mati selepas terdampar di pantai dan dihanyutkan air di pantai barat Tasmania, kata penyelamat Australia pada Khamis.
Hanya 35 daripada kira-kira 230 ikan paus di pantai masih hidup, menurut perkhidmatan hidupan liar negeri, yang menyifatkan kesukaran untuk menyelamatkan paus yang masih tinggal.
Imej udara dari tempat kejadian menunjukkan puluhan haiwan mamalia hitam berkilat bertaburan di sepanjang Ocean Beach, terkandas di pantai.
Penduduk tempatan menutup beberapa paus dengan selimut dan menyiram dengan baldi air laut untuk memastikan ia bernyawa sehingga lebih banyak bantuan tiba.
“Kami mempunyai kira-kira 35 haiwan yang masih hidup di pantai dan tumpuan utama pagi ini adalah untuk menyelamat dan melepaskan haiwan ini,” kata pengurus operasi hidupan liar negeri, Brendon Clark.
“Malangnya kami mempunyai kadar kematian tinggi pada paus yang terkandas ini,” tambahnya.
Para penyelamat biasanya mengharungi air dan menggunakan abah-abah untuk mengapungkan mamalia itu ke perairan lebih dalam, tetapi pegawai berkata teknik baharu juga akan diuji, menggunakan bantuan mekanikal firma akuakultur.
Dari sana sebuah kapal akan membawa paus ke perairan lebih dalam untuk mengelakkan kejadian terkandas lagi.
Dua tahun lalu berhampiran Pelabuhan Macquarie, berlaku kejadian paus terkandas terbesar dengan melibatkan hampir 500 ikan paus pandu.
Lebih 300 paus pandu mati semasa kejadian itu, walaupun puluhan sukarelawan bekerja keras selama berhari-hari di perairan beku Tasmania untuk membebaskan haiwan itu ke laut.
Clark berkata kejadian terbaharu ini, lebih sukar untuk ikan paus berbanding dua tahun lalu, apabila haiwan itu berada di “perairan yang lebih terlindung”.
Perhatian juga akan beralih kepada pengalihan dan pelupusan bangkai, yang sering menarik jerung.
Nekropsi akan dilakukan untuk mendapatkan petunjuk mengapa paus terdampar, tetapi saintis masih tidak memahami sepenuhnya mengapa berlaku kejadian besar-besaran seperti itu.
Para saintis mencadangkan ia mungkin terkeluar dari laluan selepas mencari makanan terlalu dekat dengan pantai.
Paus pandu—yang boleh membesar sehingga lebih 6 meter panjang—juga sangat mudah bergaul, jadi ia mungkin mengikut paus lain yang tersesat dalam bahaya.
Ia kadangkala berlaku apabila haiwan tua, sakit atau cedera berenang ke darat dan paus lain mengekori, cuba bertindak balas kepada isyarat kecemasan paus yang terperangkap.
Ada juga yang percaya pantai landai seperti terdapat di Tasmania mengelirukan sonar ikan paus membuatkan ia menyangka berada di perairan terbuka.
Kejadian terkandas terbaharu berlaku beberapa hari selepas belasan ikan paus dilaporkan mati selepas terdampar di King Island—antara Tasmania dan tanah besar Australia. – AFP, 22 September, 2022.
Komen