Korea Utara nafi eksport senjata ke Rusia


Korea Utara mengecam kenyataan AS yang menuduhnya membekalkan senjata kepada Rusia. – Gambar EPA, 22 September, 2022.

KOREA Utara pada Rabu menafikan ia membekalkan senjata kepada Rusia, kata media kerajaan, beberapa minggu selepas Amerika Syarikat (AS) berkata Moscow beralih kepada Pyongyang untuk menambah stoknya yang habis susulan pencerobohan di Ukraine.

“Kami tidak pernah mengeksport senjata atau peluru ke Rusia sebelum ini dan tidak merancang untuk mengeksportnya,” kata seorang pegawai di Biro Kelengkapan Am kementerian pertahanan dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kenyataan itu dibuat selepas Rumah Putih berkata pada awal September yang Rusia membeli peluru dan roket artileri daripada komunis Korea Utara untuk menyokong perangnya di Ukraine.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby berkata AS percaya pembelian mungkin termasuk berjuta-juta peluru, roket dan peluru meriam.

Bagaimanapun, memetik perisikan AS yang tidak didedahkan, beliau menegaskan pada masa itu pembelian belum selesai dan tiada tanda-tanda senjata itu digunakan di Ukraine.

Pyongyang yang bersekutu dengan Moscow mengecam AS dalam kenyataan itu dan berkata Washington dan pihak lain menyebarkan khabar angin mengenai jual beli senjata antara Korea Utara dan Rusia.

“Kami memberi amaran kepada AS supaya berhenti membuat kenyataan melulu,” katanya, sambil menegaskan Korea Utara mengekalkan hak untuk mengeksport peralatan ketenteraan.

Rumah Putih berkata pembelian peluru artileri daripada kerajaan Korea Utara, serta perjanjian untuk membeli dron tentera dari Iran, menunjukkan Rusia berada dalam kesempitan selepas beberapa bulan sekatan ekonomi dan teknologi Barat yang bertujuan untuk melumpuhkan jentera perangnya. – AFP, 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen