Sepanyol denda syarikat penghantar makanan 79 juta euro


Sepanyol denda syarikat penghantar makanan Glovo hampir 79 juta euro dan memerintahkan ia memberikan kontrak buruh kepada lebih 10,000 penghantar di seluruh negara. – Gambar EPA, 22 September, 2022.

SEPANYOL mengenakan denda terhadap syarikat penghantar makanan Glovo hampir 79 juta euro dan memerintahkan ia memberikan kontrak buruh kepada lebih 10,000 penghantar di seluruh negara, kata kerajaan.

Menteri Buruh Yolanda Diaz berkata Glovo melanggar peraturan 2021 yang menyatakan penghantar syarikat makanan perlu menandatangani kontrak buruh secara rasmi, bukan sekadar pekerja bebas.

“Syarikat itu perlu bertanggungjawab,” katanya kepada wartawan ketika mengumumkan hukuman terhadap Glovo.

Beliau mendakwa Glovo melanggar has asasi pekerja dan menghalang pemeriksaan terhadap pekerja.

“Kami terpaksa bertindak terhadap syarikat itu yang mempunyai lebih 10,500 pekerja penghantar makanan,” kata Diaz.

Glovo dalam satu kenyataan berkata ia akan membuat rayuan berhubung perkara itu.

Mengikut “Undang-undang penghantar” yang dikuatkuasakan pada Ogos 2021, penghantar makanan, kebanyakannya penunggang basikal dan motosikal, perlu diiktiraf sebagai pekerja, bukannya dianggap sebagai pekerja bebas.

Ia adalah peraturan pertama di Eropah yang menyatakan dengan jelas status pekerja penghantar barangan dan makanan, yang menggunakan basikal dan motosikal, di mana jumlah mereka melonjak sejak beberapa tahun terakhir ini.

Ini bermakna aplikasi syarikat berasaskan khidmat menghantar makanan perlu memberi bayaran dan manfaat kepada penghantar, termasuk cuti sakit dan perlindungan daripada dibuang kerja.

Tidak lama selepas undang-undang itu dikuatkuasakan, syarikat penghantaran makanan berpangkalan di London, Deliveroo mengumumkan ia tidak akan beroperasi di Sepanyol lagi. – AFP, 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen