Pesara kerajaan ditahan salah guna jawatan terima suapan rumah


SPRM menahan seorang pesara kerajaan kerana dipercayai menyalahgunakan jawatannya dalam proses pengambilan tanah bagi projek lebuh raya pada 2005. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pesara kerajaan kerana dipercayai menyalahgunakan jawatannya dalam proses pengambilan tanah bagi projek lebuh raya pada 2005.

Sumber SPRM Kedah berkata lelaki berusia 69 tahun itu yang pernah bertugas di salah sebuah Pejabat Tanah dan Daerah di negeri ini, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di Alor Setar, Kedah pada jam 3 petang semalam.

“Lelaki itu dipercayai menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi pada 2005.

“Sebagai balasan dia dipercayai mendapatkan suapan iaitu sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya ketika masih dalam perkhidmatan,” katanya hari ini.

Sumber itu bagaimanapun berkata suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM15,000 berserta seorang penjamin atas faktor usia dan kesihatan.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Bernama, 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen