SPRM kenal pasti 5 jenayah utama sumbang kegiatan ubah wang haram


SPRM berkata Laporan Penilaian Risiko Kebangsaan 2020 mengenal pasti lima jenayah utama yang menyumbang kepada ancaman kegiatan pengubahan wang haram yang tinggi di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

LAPORAN Penilaian Risiko Kebangsaan (NRA) 2020 mengenal pasti lima jenayah utama yang menyumbang kepada ancaman kegiatan pengubahan wang haram yang tinggi kepada Malaysia.

Lima jenayah itu adalah penipuan (termasuk dalam skim pelaburan haram), pengedaran dadah terlarang, rasuah dan kesalahan penyeludupan (termasuk pengelakan kastam dan duti eksais) serta jenayah terancang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahmad Khusairi Yahaya berkata status lima jenayah utama itu berisiko tinggi dan dijangka terus kekal serta tidak berubah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata laporan NRA 2020 itu melibatkan sumber data kuantitatif dan kualitatif yang menggabungkan statistik daripada pelbagai agensi, laporan dalaman dan luaran serta tinjauan agensi penguatkuasa undang-undang, institusi pelapor serta pihak berkepentingan antarabangsa.

“Selain itu, seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan peningkatan penggunaan teknologi dan peralihan kegiatan jenayah ke platform dalam talian.

“Kami menjangkakan berlakunya peningkatan berterusan dalam penggunan aset maya dalam kalangan penjenayah dan pengganas untuk ‘mencuci’ hasil kegiatan haram mereka terutamanya disebabkan kesukaran untuk mengesan dana berkaitan serta mengenal pasti benefisiari terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog Examining The Link Between Corruption and Top 5 Hig Risk Crimes Identified In The National Risk Assessment di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Khusairi berkata aset maya termasuk mata wang kripto dilihat semakin mendapat tarikan dan dieksploitasi oleh peniaga pasaran gelap serta organisasi pengganas.

“Berdasarkan laporan NRA 2020 juga dapat dilihat peningkatan dalam teknologi yang telah dieksploitasi untuk memudahkan penipuan, pemerasan serta pemalsuan dokumentasi sektor awam dan swasta.

“Kami boleh menjangkakan perkara ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang. Untuk mencegah dan memerangi faktor ini dengan lebih berkesan, kita semua mesti mahir dan cekap akan selok-belok penggunaan teknologi,” katanya.

Beliau berkata teknologi adalah elemen yang berkuasa dalam perjuangan menentang serta membanteras aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram.

Ahmad Khusairi berkata laporan NRA 2020 juga telah mengenal pasti setiausaha syarikat, firma guaman, pengedar logam berharga dan batu sebagai antara sektor yang terdedah kepada aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya, dalam hal ini pegawai pematuhan dari sektor itu harus lebih peka dan waspada terhadap risiko perniagaan mereka yang boleh disalahgunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram. – Bernama, 21 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen