59 staf universiti awam, swasta terlibat rasuah ditahan sejak 2017, kata SPRM


SPRM berkata segala bentuk amalan rasuah seperti penyalahgunaan kuasa dan penipuan akreditasi dalam pendidikan tinggi memberi implikasi besar terhadap reputasi institusi dan mengurangkan nilai teras yang cuba diajar kepada penuntut iaitu kejujuran.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 59 kakitangan universiti awam dan swasta dengan 49 daripadanya didakwa di mahkamah antara 2017 dan Ogos tahun ini atas kesalahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Norazlan Mohd Razali berkata kes itu melibatkan sejumlah RM1,323,203.68 wang haram iaitu RM1,311,403.68 daripada universiti awam dan RM11,800 universiti swasta.

Beliau berkata antara kes itu melibatkan seorang pengarah universiti awam yang ditahan baru-baru ini, didakwa menerima sebuah kereta sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan tender bernilai RM1.6 juta dan seorang profesor universiti yang turut ditahan berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan dana penyelidikan RM66,000.

“Insiden rasuah seperti sogokan, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu dan lain-lain kesalahan kewangan berlaku di universiti awam dan swasta kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran Rangka Kerja Pencegahan Rasuah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata segala bentuk amalan rasuah seperti penyalahgunaan kuasa dan penipuan akreditasi dalam pendidikan tinggi memberi implikasi besar terhadap reputasi institusi dan mengurangkan nilai teras yang cuba diajar kepada penuntut iaitu kejujuran.

Mengenai UIAM, Norazlan berkata ia dinilai sebagai agensi berisiko sederhana pada 2020 tetapi ia tidak bermakna universiti awam itu bebas daripada sebarang amalan rasuah.

“Sejak 2017 hingga Ogos 2022, kami hanya mempunyai dua kes terhadap kakitangan UIAM. Berdasarkan rekod, saya percaya UIAM telah dikendalikan dengan rejim tadbir urus yang agak ketat dan tidak hairanlah jika ia bertujuan untuk memastikan sifar rasuah dengan pengenalan Rangka Kerja Pencegahan Rasuah bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Rangka kerja tersebut menggariskan prinsip dan tatacara universiti terhadap amalan rasuah dalam menjalankan perniagaannya bagi memastikan ahli lembaga pengarah, pihak berkuasa universiti dan semua kakitangan menjunjung nilai-nilai murni dan integriti ke arah mencapai visi dan misinya. – Bernama, 21 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen